SHAH ALAM – PAS tidak akan menjadi ‘king maker’ (penentu kemenangan) untuk PRU14 akan datang, kata Ketua Organisasi Parti Amanah Negara (PAN), Suhaizan Kaiat.
Katanya, strategi politik makan keliling yang dimainkan PAS sekarang bukan sahaja akan menyebabkan parti itu rugi, malah turut menyebabkan tersisih daripada arus perdana politik negara.
“Tujuan PAS adalah untuk BN atau Pakatan tidak boleh menang besar dalam PRU sehingga tidak boleh membentuk kerajaan yang kukuh.
“Sekiranya itu berlaku, maka PAS akan menjadi king maker untuk mana-mana pihak membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Agung cawangan PAS Kota Bharu 15 Januari lalu telah menyatakan keputusan Majlis Syura PAS.
Antaranya adalah PAS tetap akan berlawan dengan BN pada PRU akan datang.
PAS juga tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PAN, sebaliknya mahu bekerjasama dengan PPBM dan PKR.
“Agenda PAS untuk melawan BN pada PRU akan datang adalah untuk mengurangkan kemenangan BN. Agenda PAS menentang PAN dan DAP juga adalah bertujuan untuk mengurangkan kemenangan Pakatan Harapan.
“Agenda PAS untuk berbaik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR pula adalah bertujuan untuk memecah belahkan Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian