Pasangan Dari Pokok Sena Bijak Guna Air Liur Untuk Menipu

Rohana (duduk, kiri) menunjukkan pasangan suami isteri disyaki memperdayakan orang ramai menyertai pelaburan palsu.
ALOR SETAR - Bermodal air liur dan kata-kata janji manis, sepasang suami isteri dari Pokok Sena memperdaya mangsa melalui skim pelaburan jual beli kenderaan sejak November tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintenden Rohana Omar berkata, setakat ini, tiga mangsa membuat laporan polis apabila menyedari mereka ditipu pasangan suami isteri berusia 30 dan 33 tahun itu.

“Berdasarkan maklumat mangsa, mereka ditawarkan keuntungan lumayan melalui skim pelaburan jual beli kenderaan sehingga sanggup melabur wang antara RM2,000 hingga RM4,000 kepada pasangan suami isteri ini.

“Mereka berdua berjanji akan memberi pulangan selepas beberapa hari mangsa menyerahkan wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Bagaimanapun, Rohana berkata, mangsa akhirnya menyedari mereka tertipu apabila kedua-dua lelaki dan wanita berkenaan tidak dapat dihubungi selepas menerima wang.

Rohana berkata, ketiga-tiga mangsa membuat laporan polis pada bulan Disember lepas, selepas tidak menerima bayaran baki wang pelaburan mereka sebanyak RM5,400 daripada pasangan itu seperti dijanjikan sebelum ini.

Katanya, mereka didakwa berjanji kepada mangsa untuk membayar semula semua wang dilaburkan dalam tempoh tiga hari, bagaimanapun mereka dikatakan tidak datang semula untuk berbuat sedemikian.

“Malah, siasatan dijalankan pihak polis ke alamat kediaman mereka mendapati keluarga suspek memaklumkan bahawa pasangan suami isteri tersebut sudah tidak pulang ke rumah selama dua tahun,” katanya.

Untuk itu, kata beliau, pihak polis meminta orang ramai berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan janji manis pasangan tersebut, malah diminta menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial ditalian 04-7747204/04-7747205 ataupun bilik gerakan IPD Kota Setar 04-7326999.

Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Sumber: Sinar Harian