Lokasi tempat kejadian motosikal dan bas bertembung |
SUNGAI PETANI - Seorang pelajar kolej maut tercampak daripada motosikal yang ditungganginya selepas bertembung sebuah bas di Kampung Sungkup Jalan Bukit Selambau, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pada kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa Mohd Shakir Aiman Samsudin, 20, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Mangsa didapati meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai kerana hentakan kuat di bahagian kepala selepas tercampak ke laluan bertentangan,"katanya kepada media, di sini, semalam.
Md Zukir berkata remaja itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari Bukit Selambau ke Jeniang seorang diri ketika kejadian.
Tambah beliau, pemandu bas Ahmad Said,52, dari arah bertentangan yang cuba mengelak ke kiri jalan namun tidak sempat berbuat demikian sebelum berlaku perlanggaran.
"Penunggang motosikal berkenaan dipercayai melanggar bahagian depan sebelah kanan bas lalu tercampak ke belakang, di laluan bas.
"Bagaimanapun, pemandu bas tidak mengalami kecederaan," katanya.
Justeru, Md Zukir berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa," katanya.
Sumber: Sinar Harian