Pemuda PAN Gesa Rakyat Jangan Sokong PAS


KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) meminta ahli PAS tidak lagi menyokong parti itu, sebaliknya memberi sokongan kepada Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Pemuda PAN, Mohd. Sany Hamzan berkata, PAS yang kononnya sebuah parti Islam sebenarnya sekadar memberi harapan palsu kepada penyokongnya kerana parti itu tidak mampu untuk memerintah Malaysia.

“PAS menyedari mereka tidak mampu memerintah dengan pendekatan politik mereka ketika ini. PAS secara tidak langsung telah memberi harapan palsu kepada penyokong mereka sendiri.

“Penyokong dan ahli PAS perlu berfikir secara rasional tentang realiti sebenar parti itu,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Pakatan Harapan yang turut dianggotai PAN bermula minggu lalu menyerang PAS habis-habisan selepas gagal memujuk parti itu supaya bersengkongkol dengan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

PAS yang disingkirkan daripada pakatan pembangkang dua tahun lalu oleh PKR dan DAP kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam menolak pujukan itu kerana menyifatkan DAP yang mengetuai Pakatan Harapan anti-Islam.

Pemimpin Pakatan Harapan kembali memujuk PAS selepas menyedari sokongan umat Islam berkurangan sejurus menyingkirkan PAS walaupun sebelum itu amat yakin penyingkiran PAS tidak membawa sebarang makna.

DAP pada mulanya membantah keras usaha memujuk PAS tersebut, namun berubah nada beberapa hari lalu dengan menawarkan kerjasama.

Mohd. Sany berkata, rakyat perlu tahu PAS tidak berhasrat untuk memerintah negara oleh kerana mereka hanya mahu memenangi kerusi yang disasarkan.

Justeru, katanya, rakyat perlu memberi sokongan kepada Pakatan Harapan yang benar-benar komited untuk menumbangkan parti terbesar kaum Melayu UMNO dan Barisan Nasional (BN). –Kedahnews.com