Pengamal Media Main Peranan Pupuk Kesedaran Isu Rohingya


MELAKA – Pengamal media memainkan peranan penting bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kekejaman terhadap etnik Rohingya dan usaha yang perlu dilakukan bagi menghentikannya.

Seorang etnik Rohingya, Saydullah Nur Husin, 21, yang berhijrah ke Malaysia sejak 2012 berkata media mampu memberikan gambaran jelas mengenai keganasan yang berlaku di wilayah Rakhine, Myanmar itu.

Katanya peranan media amat penting bagi membuka mata masyarakat di seluruh dunia bagi menghebah dan menyampaikan insiden kezaliman yang berlaku terhadap kaum minoriti itu.

“Kami tidak mahu sebarang keistimewaan, cuma berilah kami peluang untuk hidup aman tanpa sebarang gangguan. Sampai bila kami perlu menanggung penderitaan ini,” katanya dengan nada sebak.

Beliau ditemui pemberita pada Perhimpunan Aman Membela Masyarakat Islam Rohingya Peringkat Negeri Melaka disertai lebih 8,000 peserta melibatkan pelbagai agensi termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Perhimpunan itu turut disertai Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Saydullah berkata dia tidak sanggup mendengar dan melihat keluarga serta saudara seagamanya terus diseksa dengan kejam sebelum dibunuh.

“Saya mendapat maklumat terdapat ramai anggota keluarga dan saudara-mara saya dibunuh dengan kejam, namun saya kesal kerana tidak mampu untuk memberi pertolongan.

“Kasihanilah kami dengan membantu kami pulang ke Myanmar dan diberi tempat perlindungan yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, dia memohon kepada semua pihak termasuk badan dan persatuan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mendesak Myanmar bagi menghentikan kekejaman terhadap etnik itu. – BERNAMA