Pengurusan Kasual: MB Minta Kurang Protokol, Permudah Rakyat Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah meminta supaya para pegawai tadbir negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan memainkan peranan lebih pro-aktif turun ke padang bagi memantau sendiri keadaan sebenar rakyat di negeri itu yang memerlukan khidmat mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, hasil dari penelitian beliau yang sering turun padang bertemu rakyat mendapati orang ramai mengadu mengenai beberapa masalah yang masih tertangguh dan belum dapat jalan penyelesaian.

"Saya hendak supaya semua jabatan-jabatan negeri dan persekutuan turun ke bawah mengadakan program.

"Contohnya, hasil dari mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Sik pada awal bulan ini dan pemerhatian saya dalam program Walkabout di sana, kita dapati rakyat mengadu mengenai masalah geran-geran tanah yang menunggu hingga 16 hingga 17 tahun dan belum diselesaikan

"Saya hendak semua itu diselesaikan pada tahun ini, permudahkan," katanya dalam sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa setiap permasalahan rakyat itu haruslah diselesaikan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan saluran yang sesuai agar tidak timbul konflik yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan awam.

Ahmad Bashah dalam ucapan beliau turut memberi penekanan kepada konsep pengurusan kasual di kalangan pegawai dan kakitangan awam negeri bagi merapatkan jurang di kalangan pemimpin, pegawai kerajaan dan rakyat di Kedah.

"Saya juga ingin menekankan agar konsep pengurusan kasual dilaksanakan. Tujuannya bagi mengecilkan jurang antara barisan pimpinan, pegawai tingi dan rakyat biasa apabila sesuatu majlis keraian atau sambutan diadakan," katanya.

Tegas beliau, yang paling utama bagi jabatan-jabatan kerajaan itu adalah mempermudahkan segala urusan rakyat dengan menyediakan keperluan rakyat Kedah dan dapat diselesaikan dengan kadar segera tanpa bertangguh.

"Yang mana boleh dipermudahkan, maka permudahkan untuk rakyat," tegasnya.

Selain itu, Ahmad Bashah turut menggesa Ketua-Ketua Jabatan kerajaan negeri supaya tidak terlalu berprotokol di dalam majlis bersama rakyat.

"Jangan ada protokol sangat. Ketua-ketua jabatan turunlah ke bawah, bermesralah dengan rakyat. Kalau ada majlis, protokol-protokol yang terlalu rumit sangat, kalau boleh saya tak mahu itu berlaku.

"Makanlah dengan orang ramai di meja-meja biasa. Saya beritahu pada menteri-menteri kalau mai ke Kedah selepas ini supaya tidak terlalu pentingkan protokol. PM semalam pun boleh makan semeja dengan rakyat di bawah," ujar beliau.

Ahmad Bashah sebelum itu menyampaikan amanat beliau menerusi Perutusan Menteri Besar Kedah bersempena tahun baru 2017 kepada kira-kira 1,000 kakitangan awam Kerajaan Negeri, Persekutuan, Agensi dan GLC negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini pagi tadi. -Kedahnews.com