Penjawat Atau Bekas Penjawat Awam Perlu Pelihara Integriti


KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil kepada penjawat awam atau bekas penjawat awam yang menggunakan kedudukan mereka dengan membuat kenyataan atau berkelakuan mendatangkan fitnah sekali gus memberi persepsi buruk kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 memperuntukkan bahawa tiada penyata atau komen dibenarkan untuk menerbitkan atau bercakap tanpa persetujuan daripada menteri atau jabatan yang bertanggungjawab.

“Rasional pelaksanaan peraturan ini adalah bagi mengelakkan salah faham dari sumber yang tidak sah dan untuk mengelakkan salah tafsir berhubung keputusan kerajaan bagi mereka yang masih dalam perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tanpa merujuk kepada mana-mana kes, Azalina berkata bagi mereka yang sudah bersara, mereka masih tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang memperuntukkan kesalahan berhubung pendedahan yang tidak dibenarkan berkaitan rahsia rasmi.

“Peruntukan mengikut Akta 88 diwujudkan bagi suatu kesalahan jika seseorang mendedahkan maklumat rahsia rasmi yang diperoleh selepas bersara,” katanya.

Tambahnya, semua kakitangan kerajaan perlu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan untuk memastikan tiada salah faham timbul dalam kalangan orang ramai. – BERNAMA