Pentadbiran Trump Teliti Semula Bantuan RM978 Juta Kepada Palestin


WASHINGTON - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) meneliti semula keputusan minit-minit akhir bekas Presiden Barack Obama dan bekas Setiausaha Negara John Kerry menyalurkan bantuan bernilai AS$221 juta (RM978 juta) kepada Palestin.

Penelitian itu dibuat semula selepas ahli Kongres Parti Republikan (GOP) mengemukakan bantahan terhadap usaha Obama yang dilakukan beberapa jam sebelum beliau melepaskan jawatan secara rasmi pada 20 Januari lalu.

Jabatan Negara akan menilai semula jumlah pembayaran dan mungkin melakukan perubahan mengikut kesesuaian pentadbiran baharu di bawah pimpinan Presiden Donald Trump.

Kerry secara rasmi memaklumkan Kongres bahawa kerajaan akan menyalurkan bantuan itu pada awal pagi Jumaat lalu, beberapa jam sebelum Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden.

Dana itu bertujuan pelaksanaan misi kemanusiaan selain membangunkan semula wilayah Palestin yang terjejas akibat peperangan dan sekatan yang dikenakan Israel.

Trump tidak popular dalam kalangan penduduk Palestin memandangkan dasar beliau yang lebih memihak kepada Israel.

Malah baru-baru ini, Trump mengundang kemarahan Palestin apabila menyuarakan hasrat untuk memindahkan Kedutaan AS di Tel Avi ke Baitulmaqdis yang merupakan antara lokasi suci bagi umat Islam.

Sumber: mStar