Perbalahan Sesama Sendiri Punca Islam Runtuh

IBLIS sangat bijak dalam misi memperdayakan manusia. Makhluk ciptaan Allah itu sangat bertakwa sebelum diciptakan manusia, namun akhirnya dilaknat kerana sikap angkuh ekoran enggan memberi penghormatan kepada Nabi Adam a.s.

Memohon izin kepada Yang Maha Kuasa untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat, iblis bersumpah menyesatkan manusia untuk bersamanya dibaham api neraka.

Dalam menyesatkan manusia, iblis begitu bijak memperdaya kaum Adam terutama umat Islam. Makhluk yang pernah bertakwa kepada Allah selama 80,000 tahun sebelum penciptaan manusia itu mempunyai kaedah dan tipu helah sangat licik.

Liciknya makhluk itu, mereka tidak secara langsung bertindak memperdayakan umat Islam agar menyekutukan Allah SWT, tetapi sebaliknya menggunakan kaedah lain secara halus bagi menimbulkan sifat riak dalam diri dan merasakan diri sangat berkuasa, sekali gus melupakan Allah dalam semua perkara.

Iblis juga akan bertindak memecah belah perpaduan dalam kalangan umat Islam dengan mencetuskan pertelingkahan sehingga ke peringkat alim ulama, meninggalkan sunah Rasulullah SAW serta mencintai dunia lebih daripada segalanya.

Begitu hebat permainan iblis sehinggakan manusia terlupa bahawa kehidupan hakiki adalah di akhirat kelak, bukan menjadikan dunia sebagai jambatan membina saham di akhirat sana.

ELAK TERPEDAYA TIPU HELAH IBLIS

Presiden Persatuan Ulama Singapura, Hasbi Hassan berkata, iblis memang sangat bijak dalam memperdaya manusia terutama yang beragama Islam, hatta golongan bijak pandai dalam agama juga berjaya diperdayakan terutama mereka yang mengejar kekayaan dunia.

Jelasnya, jika perkara seumpama itu berlaku pastinya akan mewujudkan situasi tidak baik kepada ummah, malah boleh memecah belah umat Islam kerana terkeliru akibat perbalahan dalam kalangan ulama yang berlainan pendapat.

“Ulama seharusnya tidak bergaduh atau bertelagah antara satu sama lain, tetapi hanya berbeza khilaf (berselisih pendapat) sahaja. Harus hormat menghormati biarpun berbeza pendapat, sama seperti yang berlaku antara Imam Shafie dengan gurunya.

“Golongan ulama jangan bergaduh sehingga tercetusnya peperangan dan merugikan umat Islam itu sendiri. Sebaliknya jadikan perselisihan pendapat sebagai jalan mengukuhkan lagi umat Islam dan mengeratkan hubungan sesama sendiri, lantas membuang rasa angkuh untuk bermaaf-maafan,” katanya ketika berucap dalam majlis Wacana Ulama Ahli Sunah Wal Jamaah Nusantara 1438/2017 di Yayasan al-Jenderami, Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Bertemakan Cabaran Memelihara Akidah dan Manhaj Dakwah Ahli Sunah Wal Jamaah di Nusantara Masa Kini, majlis anjuran yayasan itu berjaya mengumpulkan golongan ulama dari Nusantara termasuk dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Antara panel lain yang turut sama berkongsi pengalaman dalam wacana ulama tersebut ialah Baba Mohd. Ramli Ab. Rahman dari Thailand, Kiyai Dr. Muhd. Lutfi Abdul Hadi (Indonesia), Mohd Azman Mohsen (Malaysia) serta Prof. Dr. Kiyai Abd. Hadi Ahmad Muthohar (Indonesia).

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, iblis akan berusaha menjauhkan umat Islam daripada sunah Rasulullah dan menjadikan umat Islam lalai terhadap tanggungjawab sebenar sebagai khalifah di muka bumi.

Tegasnya, sekiranya perkara tersebut berlaku, ia suatu cabaran yang sangat sukar kepada umat Islam itu sendiri terutama dalam membentuk budaya dan jati diri Islam sebenar mengikut keperibadian Rasulullah SAW.

“Sunah nabi sangat besar kesannya dalam amalan manusia, ia mampu membentuk sebuah peradaban mulia dan menjaga pergaulan serta hak-hak yang sepatutnya.

“Sekiranya sunah Rasulullah tidak lagi diamalkan, maka akan timbulnya permasalahan dan kecelaruan dalam dunia, bukan sahaja merugikan umat Islam malah meletakkan agama dalam situasi bahaya,” katanya.

BERSAMA-SAMA JAGA MANHAJ DAKWAH SUNNI

Sementara itu, pendakwah terkenal dari Malang, Indonesia, Muhd. Lutfi Abd. Hadi berkata, antara cara terbaik untuk memelihara manhaj dakwah Ahli Sunah Wal Jamaah adalah menerusi pendekatan mengadakan hubungan baik bersama ahli politik atau golongan pemerintah.

Menurutnya, golongan tertinggi dalam kepimpinan sesebuah negara bukan sahaja akan membantu menjaga kumpulan Ahli Sunah Wal Jamaah, malah membantu memartabatkan Islam dengan lebih baik.

Selain itu, katanya, menerusi hubungan baik dengan golongan pemerintah, fahaman luar yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Wal Jamaah juga tidak berupaya membolosi atau memberi ‘ancaman’ kepada orang ramai.

“Di sinilah peranan utama golongan pemerintah dalam membantu menjaga fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah daripada diganggu gugat oleh anasir luar yang cuba memecah belah perpaduan umat Islam di rantau ini,” katanya.

Sumber: Utusan