Pertahan Maruah UMNO, Usah Beri Ruang Pada "Bunga Raya" Di Kedah


ALOR SETAR - Seluruh kepimpinan dan warga UMNO di negeri Kedah diingatkan supaya bekerja keras mempertahankan maruah parti dengan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bagi merealisasikan matlamat berkenaan, pihak pembangkang tidak harus diberi ruang untuk menang pada PRU kali ini, khususnya parti serpihan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Siapa yang banyak mendapat undi maka dialah yang akan menang. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian oleh anggota parti.

"Yang penting, kita wajib pertahankan kerusi yang kita ada, baik di peringkat Dun mahupun Parlimen. Selain itu pada masa yang sama kita mahu menambah lagi kerusi yang ada pada PRU nanti.

"Ini adalah maruah kita untuk pertahankannya dan untuk memastikan parti bunga (PPBM) tidak mendapat tempat di negeri ini," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan kepimpinan utama dan ketua sayap-sayap UMNO Kedah dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak petang tadi, Ahmad Bashah menjelaskan tentang harapan Perdana Menteri supaya BN kekal memimpin kerajaan negeri Kedah pada PRU ke-14 nanti.


Katanya, Mohd Najib dalam amanatnya meminta UMNO Kedah supaya melipat gandakan usaha dengan bekerja keras bagi memastikan matlamat BN mencapai kemenangan di negeri itu terlaksana dengan baik.

"Amanat Perdana Menteri suruh kita (UMNO Kedah) bersiap sedia kerana kerja yang lebih besar sudah dekat.

"Jadi persiapannya memerlukan semua peringkat parti turun bawah, kena turun ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), masuk ke Cawangan-Cawangan dan memastikan jentera kita perkemaskan daftar pemilih untuk mendapat pengundi baru," ujar beliau.

Turut hadir pada pertemuan tertutup lebih sejam di TH Hotel & Convention Centre itu adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, kepimpinan UMNO Bahagian dan ketua-ketua sayap parti.

Selain itu, Ahmad Bashah menjelaskan bahawa Presiden UMNO turut memberi penekanan terhadap perpaduan di dalam parti dan keperluan untuk bekerja secara berpasukan di semua peringkat hingga ke akar umbi.

Meletakkan sasaran kemenangan majoriti dua pertiga pada PRU ke-14 ini, Ahmad Bashah turut menjelaskan tentang laporan terkini yang telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Mohd Najib yang kini dalam rangka lawatan ke Kedah difahamkan menghadiri majlis Jamuan Diraja Negeri Kedah bersempena hari Keputeraan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di istana malam ini.

Beliau dijangka meneruskan jadual lawatan beliau ke Sidam dan Kuala Ketil sebelum mengakhiri lawatan beliau esok - Kedahnews.com