Phahrolrazi Zawawi Calon Pilihan Jadi Menteri Besar Kedah?


ALOR SETAR - Bekas Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ir Phahrolrazi Zawawi dijangka bakal menjadi calon pilihan untuk dilantik menjadi Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya merampas Kedah dari Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Jangkaan tersebut adalah berdasarkan kedudukan senioriti dan pengalaman luas beliau di dalam bidang politik serta pernah dilantik dalam barisan Exco Kerajaan Negeri selama sepenggal ketika Kedah dikuasai Pakatan Rakyat sebelum ini.

Lantaran desas-desus yang bertiup kencang ketika menjelang PRR ke-13 yang lalu di mana Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) itu dikatakan bertelagah dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Adun Pengkalan Kundor itu dikatakan telah mendesak Azizan supaya melepaskan jawatan Menteri Besar atas faktor kesihatan, telah berjaya mengegar kestabilan politik kerajaan negeri yang berada di ambang pilihan raya ketika itu sekaligus memperlihat pengaruhnya yang agak besar.

Selain Phahrolrazi, turut menjadi pilihan adalah dua lagi pemimpin pembangkang, Pengerusi PAN Kedah, Dr Ismail Salleh yang juga merupakan mantan Adun Alor Mengkudu, dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.


Dr Ismail menjadi pilihan atas kredibiliti dan pengalaman beliau yang turut pernah menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah dan kedudukan beliau sebagai Pengerusi PAN Kedah.

Ekoran PAN Kedah dijangka bertanding lebih dari 21 kerusi Dun pada PRU ke-14 nanti, beliau disifatkan sebagai calon yang layak dipertimbang untuk dilantik menjadi Menteri Besar.

Manakala Mukhriz pula mungkin menjadi pilihan untuk kembali menjadi Menteri Besar atas pengalaman lalu dan pengaruh bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat mampu melobi gabungan Pakatan Harapan dan PBBM untuk melantik anaknya ke jawatan tersebut.


Walaupun agak tipis untuk dilantik kembali sebagai Menteri Besar ekoran kecenderungan beliau yang lebih gemar untuk berada di ibu negara, sewajarnya Mukhriz diberi peluang untuk menebus kembali kerusi no.1 itu kerana beliau dikatakan amat popular dan mampu meraih banyak "like" di Facebook.

Meskipun dijangka bertanding dan menang kerusi Dun Ayer Hitam, Mukhriz dilihat masih sukar untuk mendapatkan kembali jawatan Menteri Besar ekoran kerusi yang bakal dimenangi PPBM turut dijangka lebih kecil jumlahnya berbanding PAN. -Kedahnews.com