PKR Akui Dakwaan Tanah Rizab Kedah Dijual Pada Pelabur China Adalah Palsu


ALOR SETAR - Masyarakat Kedah khususnya di Sungai Petani tidak perlu berasa bimbang berhubung tular melalui Whatsapp dan Facebook sejak kebelakangan ini kononnya tanah rizab kerajaan negeri akan dijual kepada pelabur asing yang disebut sebagai China.

Penasihat PKR Kedah, Datuk Johari Abdul berkata, siasatan dan penyelidikan yang dibuat melalui Jawatankuasa Siasatan Isu Tanah Sungai Petani yang diwujudkan PKR mendapati dakwaan tersebut adalah tidak benar.

“Walaupun saya Ahli Parlimen Sungai Petani, tapi saya tidak respons sebelum ini kepada banyak permintaan berhubung apa yang didakwa itu.

“Setelah penyiasatan dibuat, saya dapati bahawa maklumat yang tersebar itu tidak betul. Pihak yang telah menyebarkan maklumat itu juga tidak mengambil tindakan secermatnya kerana ini telah memberikan keresahan kepada rakyat seolah-olah apa yang disebarkan itu betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah di Pejabat PKR Kedah, di sini, semalam.

Menurutnya, beberapa syarikat telah disebut termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) kononnya telah memohon banyak bidang tanah di kawasan Green Lungs, Sungai Petani dan PKNK akan membangunkan dengan sebuah syarikat perumahan.

“Diviralkan ini akan merosakkan kawasan Sungai Petani khususnya Green Lungs dan sekaligus kawasan-kawasan sejarah seperti rumah pegawai daerah yang pernah didiami oleh mantan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman.

“Maklumat yang saya dapat daripada Ketua Pegawai Eksekutif PKNK bahawa permohonan tanah kerajaan dibuat bukan saja oleh PKNK, tapi banyak agensi lain sama ada oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), orang perseorangan dan syarikat lain. Permohonan ini perkara biasa,” katanya.

Jelasnya, apa yang berlaku seterusnya adalah pihak Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda dalam kes ini akan mempamerkan permohonan tersebut untuk orang awam respons sama ada bersetuju atau tidak dengan permohonan yang dikemukakan termasuk oleh PKNK.

“Kemudian sekiranya orang awam tidak bersetuju dan menolak, maka dengan sendirinya permohonan itu akan terhenti dan akan dimaklumkan kepada PKNK bahawa permohonan mereka tidak berjaya.

Katanya dalam kes ini, permohonan dibuat pada 2015 dan pameran untuk awam telahpun dipamerkan dan didapati kebanyakan masyarakat tidak bersetuju. Jadi dengan sendirinya permohonan PKNK itu ditolak.

“Saya bersama MPN PKR Kedah membentangkan hakikat sebenarnya dan kami rasa tentulah pegawai kerajaan tidak semudah itu untuk meluluskan tanah-tanah tanpa siasatan lanjut,"katanya.

Sumber: Sinar Harian