PM Harap Semua Pihak Beri Kerjasama Kepada Anggota Keselamatan


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap semua pihak memberi kerjasama kepada anggota keselamatan yang bertugas membantu dan memindahkan mangsa banjir.

“Semoga Allah SWT permudahkan dan beri kekuatan untuk harungi musibah ini, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri di laman Facebook dan Twitternya hari ini.

Beliau yang sudah mendapat laporan terkini mengenai keadaan banjir di Pantai Timur, iaitu di Kelantan dan Terengganu, berkata agensi kerajaan telahpun mengambil pelbagai langkah untuk membantu mangsa banjir, dan juga memastikan keselamatan mereka.

Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin bertambah buruk berikutan musim Monsun Timur Laut, dengan hampir 23,000 orang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan setakat tengah hari ini.

Selain itu, 135 orang daripada 27 keluarga daripada 10 kampung di utara Sabah turut dipindahkan ke tempat selamat di Kampung Rukom Ulu dekat Pitas berikutan hujan berterusan. – BERNAMA