PM Sedia Lulus KUIN Jadi Universiti Penuh Jika Penuhi Syarat

BALING - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, beliau sedia memberi kelulusan untuk menaik taraf Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai universiti penuh, namun pihak pengurusan universiti itu perlu terlebih dahulu memenuhi syarat yang ditetapkan.

Menurut Mohd Najib, hasil pertemuan beliau dengan Rektor KUIN, Prof. Dato’ Dr. Fakhruddin Abdul Mukti di sini hari ini, kolej universiti itu hanya memerlukan sedikit lagi usaha untuk memenuhi syarat bagi dinaik taraf menjadi universiti penuh.

"Saya tahu di sini ramai pelajar KUIN, pensyarah pun ada. Nak dengar, bila nak keluar ayat itu. Bila nak disebut bibir Perdana Menteri ini KUIN hendak dinaiktaraf kepada universiti penuh, dia nak dengar..

"Saya dengan Rektor tadi dekat KUIN, saya tengok memorandum itu dah hampir-hampir cukup syarat.. hampir, belum cukup lagi... ada sedikit lagi.

"Kalau KUIN boleh memenuhi syarat, saya akan luluskan naik taraf penuh KUIN sebagai sebuah universiti, boleh?," kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 23,000 rakyat sempena bersama rakyat di Padang Awam Kuala Ketil, di sini petang tadi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini memberi jaminan untuk terus komited menjujung duli dan titah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mahu melihat institusi pengajian tinggi itu diiktiraf menjadi universiti penuh. - Kedahnews.com