Polis Tahan Lelaki, Rampas Syabu, Bahan Proses Dadah Bernilai RM1.3 Juta


GEORGE TOWN – Polis menahan seorang bekas kontraktor dan merampas syabu serta pelbagai jenis bahan memproses dadah bernilai RM1.3 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat yang dijadikan makmal dadah di Paya Terubong di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan dalam serbuan pada 3.20 petang.

“Kami turut merampas peralatan untuk memproses dadah dan pelbagai cecair bahan kimia untuk menghasilkan syabu, antaranya minyak methamphetamine, cecair hydrochloric, cecair diethyl ether, serbuk sodium hydroxide, cecair ethanol, cecair acetone, dan serbuk kafein.

“Semua bahan yang dirampas itu mampu menghasilkan 20 kilogram syabu,” katanya dalam sidang berita di sini, semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki terbabit menggunakan minyak methamphetamine kitar semula yang dipercayai dibeli daripada sindiket pengedaran dadah lain untuk menghasilkan syabu itu.

Chuah berkata lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu dipercayai sentiasa berpindah randah untuk menjalankan aktivitinya dan menjadikan rumah berkenaan sebagai makmal dadah sejak sebulan lepas.

“Bekas kontraktor pemasangan mozek itu mempunyai kepakaran menghasilkan syabu secara sendirian. Kami percaya dia adalah anggota sindiket pengedaran dadah yang aktif di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan. – BERNAMA