Polis Tahan Suspek Kes Samun Kedai 24 Jam


KOTA KINABALU – Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes samun kedai 24 jam dalam satu serbuan di Sulaman Central, Menggatal dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan pada 9.45 malam, selepas dipercayai menyamun sebuah kedai 24 jam di Taman Indah Permai, Menggatal pada 4.55 petang hari yang sama.

“Hasil serbuan itu, polis turut merampas sebuah motosikal dan pemutar skru yang dipercayai digunakan suspek sewaktu menyamun kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah.

Dalam kejadian samun itu, Chandra berkata suspek menyamun kedai 24 jam berkenaan dan melarikan wang tunai sebanyak RM83, kad tambah nilai kredit telefon bernilai RM48 serta tiga bungkus rokok jenama Dunhill. – BERNAMA