Pontianak Bina Pontianak Setinggi 100 Meter Tarik Pelancong


JAKARTA – Pihak berkuasa Kalimantan Barat sedang merancang untuk mendirikan sebuah patung hantu pontianak besar bagi menarik ramai pelancong ke kota Pontianak iaitu ibu kota wilayah itu.

Menurut laporan akhbar Jakarta Globe, ketua pelancongan daerah Pontianak, Kartius, memberitahu bahawa kawasan tersebut harus meningkatkan sektor pelancongannya dan mahu melakukannya dengan cara yang berbeza.

Dengan ketinggian 100 meter, patung tersebut akan mempunyai platform untuk para pengunjung melihat panaroma bandar raya yang berkeluasan kira-kira 107 kilometer persegi serta terletak betul-betul atas garisan Khatulistiwa.

Menurut laman Jakarta Globe lagi, idea patung raksasa tersebut bagaimanapun dikritik oleh sesetengah pihak, tetapi bagi lebih 500,000 penduduk Pontianak secara umumnya, mereka memberikan sambutan yang hangat.

“Patung tersebut bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk penjaja makanan, kedai cenderamata dan juga pembantu letak kenderaan apabila ramai pelancong datang,” kata Kartius seperti ditukil media tempatan.


Setakat ini, tarikan utama di Pontianak ialah Equator Monument atau Tugu Khatulistiwa serta hidangan makanan etnik Peranakan diwarisi turun-temurun oleh pendatang China yang berhijrah dan menetap di pulau Kalimantan.

Dalam bahasa Indonesia, pontianak lazimnya disebut sebagai kuntilanak. Menurut legenda lama, sultan pertama di Pontianak, Syarif Abdur Rahman al-Habib Husein al-Qadri juga pernah diganggu oleh kuntilanak pada 1771 lalu.

Baginda terpaksa melepaskan tembakan meriam ketika menyusuri sungai untuk mengusir hantu tersebut, sekali gus menandakan tempat peluru itu jatuh iaitu di kawasan Kampung Beting untuk didirikan wilayah kesultanannya.

Kuntilanak biasanya digambarkan sebagai wanita berkulit pucat dengan mata merah dan memakai kain putih labuh. Hantu ini sering terbang mengganggu penduduk di sekitar Sungai Kapuas dan Sungai Landak di kawasan tersebut.

Menurut kepercayaan lama masyarakat tempatan, wanita yang sedang hamil mati dibunuh ataupun meninggal ketika bersalin, boleh muncul menjadi kuntilanak apabila mayatnya dikebumikan. – Agensi