ALOR SETAR - Dato' Seri Mukhriz Mahathir tidak wajar menyalahkan media ekoran rakyat sendiri semakin "celik" dengan agenda sebenar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat tidak konsisten dan "desperado".
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tanpa hala tuju yang jelas, PPBM hanya bakal menjadi parti "tempelan" saja di dalam Pakatan Harapan dan mungkin berkubur tidak lama lagi.
"Sudah terang lagi bersuluh bahawa rakyat masih lagi kabur dengan gagasan yang dibawa oleh PPBM dan ianya menimbulkan pelbagai persepsi dan ketidakpuasan hati.
"Pemuda UMNO Kedah yakin, PPBM tidak akan mampu bertahan sehingga PRU yg akan datang, kalau bertahan pun sekadar hanya mampu menjadi parti "tempelan" ataupun "penumpang" kepada pakatan pembangkang.
"Pendirian yang tidak konsisten pemimpin tertentu khas Tun M yang dilihat menerima perjuangan DAP walaupun bersifat "anti" setelah beberapa puluhan tahun jelas membuktikan PPBM adalah parti "desperado"," katanya dalam satu kenyataan media kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.
Kata Shaiful Hazizy, rakyat Kedah juga semakin jelas berhubung pelbagai kemelut kontroversi yang menghantui dalaman PPBM menandakan parti itu sarat dengan masalah yang menghuru-harakan keadaan.
Jelasnya, ekoran ketidakpuasan hati dan pelbagai masalah dalaman tersebut, tidak menghairankan sekiranya ada di kalangan mereka yang meluahkan rasa marah dengan menggunakan medium media sosial.
"Hakikatnya juga PPBM sebuah parti yang sarat dengan masalah, skandal sepertimana kes melibatkan Ainina, Ketua Armada, Syed Sadiq yang heboh diviralkan dan skandal moral yang membelenggu Presidennya sendiri.
"Malahan, diantara pengasas PPBM sendiri iaitu Dato' Khairuddin (Abu Hassan) sendiri mencabar Presidennya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membersihkan namanya adalah bukti jelas bahawa PPBM berada di dalam krisis yang cukup meruncing.
"Paling terbaru ialah tindakan Ezam Md Noor yang mengumumkan keluar PPBM setelah difahamkan tidak mendapat jawatan yang dimintanya.
"Apabila isu sebegini membesar, bukankah mustahil dari kalangan ahlinya sendiri yang tidak berpuas hati menghebahkannya di dalam media dan memanfaatkan medium media sosial bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka," kata beliau.
Shaiful Hazizy turut meluahkan keyakinan beliau bahawa PPBM hanya meletakkan sasaran Mukhriz sebagai Perdana Menteri bagi kepentingan kroni bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menandakan beliau sedang menghadapi "sindrom kemerosotan kuasa".
Justeru itu katanya, adalah amat sukar bagi rakyat untuk yakin kepada PPBM untuk mengemudi negara ekoran parti itu sendiri lemah dan gagal mengendalikan masalah dalaman mereka walaupun baru berusia beberapa bulan.
"Dengan matlamat akhirnya meletakkan Mukhriz selaku PM bagi melindungi kepentingan kroni Tun M yang telah kaya raya sepanjang 22 tahun beliau berkuasa. Bagi Pemuda Kedah reaksi Mukhriz ini adalah biasa dan Pemuda Kedah sifatkan "Sindrom Kemerosotan Kuasa".
"Masalah demi masalah yang wujud ini membuktikan 'control and command' di dalam PPBM terlalu lemah dan lazimnya parti yang lemah sebegini tidak boleh diharapkan untuk mengemudi masyarakat, negara dan kerajaan," kata beliau.
Mukhriz sebelum ini dalam satu kenyataan mendakwa porak peranda di dalam PPBM adalah berpunca dari serangan media pro-kerajaan yang kononnya sengaja melaga-lagakan pemimpin parti itu. -Kedahnews.com