ALOR SETAR - Pengalaman lalu yang menyaksikan Kedah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 menjadikan Barisan Nasional (BN) lebih berwaspada dan menjadikan negeri itu sebagai salah satu fokus untuk dipertahankan pada PRU ke-14 nanti.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah berkata, signifikan tersebut diterjemahkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang memilih Kedah sebagai negeri pertama untuk dilawati pada tahun "pilihan raya" ini.
"Sebagaimana yang kita maklum, Perdana Menteri sudah memalu gendang perang pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini menandakan PRU ke-14 berkemungkinan besar akan berlangsung pada tahun ini.
"Kedah merupakan negeri pertama yang beliau lawati pada tahun pilihan raya ini sekaligus menandakan beliau menaruh harapan yang sangat tinggi untuk melihat BN dan UMNO Kedah berjaya mempertahankan kemenangan pada PRU kali ini," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.
Exco Kerajaan Negeri Kedah itu diminta mengulas mengenai pertemuan tertutup Presiden UMNO itu dengan kepimpinan utama dan sayap-sayap parti UMNO Negeri yang berlangsung di TH Hotel, di sini, petang tadi.
Mengulas lanjut, Tajudin, Mohd Najib dalam pertemuan berkenaan menyeru kepada segenap lapisan kepimpinan utama hinggalah ke akar umbi untuk merapatkan barisan, bermuafakat serta bekerjasama antara satu sama lain untuk memastikan matlamat parti tercapai.
Jelas beliau, Perdana Menteri turut menegaskan kepada kepimpinan yang hadir supaya lebih fokus dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri Kedah dan melipat gandakan usaha bekerja untuk menjamin kebajikan orang ramai terbela.
"UMNO perlu menjadi pembelas kepada rakyat. UMNO perlu menjuarai isu rakyat, kita perlu selesaikan masalah rakyat dan memastikan kebajikan rakyat Kedah terbela. Tradisinya UMNO memang terkenal dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
"Cuma apa yang perlu ialah kita perlu perkemaskan lagi kerja kita untuk rakyat. Dalam apa jua hal sekalipun, kita perlu utamakan rakyat terlebih dahulu, itu pesan Dato' Seri Mohd Najib pada kami," katanya.
Mengulas mengenai kesediaan UMNO Negeri bagi menghadapi PRU ke-14, Tajuddin menjelaskan bahawa parti itu sememangnya sudah bersiap siaga dan melipat gandakan usaha bermula dari pucuk pimpinan negeri hinggalah ke akar umbi.
Kata beliau, jentera-jentera UMNO Negeri, Bahagian dan Cawangan telah lama mengatur gerak menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing serta bertungkus-lumus memastikan parti itu bersiap sedia bagi menghadapi PRU ke-14.
Kenyataan tersebut senada dengan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyatakan bahawa jentera UMNO di negeri itu sedang giat memantapkan gerakan dan melakukan persediaan terakhir untuk menghadapi pilihan raya.
"Perdana Menteri memberikan nasihat supaya bersama-sama berganding bahu, buat kerja bersama, bermuafakat menuju pilihan raya,
"InsyaAllah, kami bersedia.. persediaan sudah ada," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui sejurus selepas pertemuan tersebut diadakan.
Kata Mahdzir, masih ada beberapa perkara lagi yang perlu diperteguhkan oleh parti dan beliau yakin UMNO dan BN negeri Kedah akan berjaya mempersiapkan diri dan menjelang PRU ke-14 nanti.
Tahun 2017 disifatkan sebagai "tahun pilihan raya umum" menyaksikan BN dan parti-parti pembangkang bersiap siaga dan melakukan persiapan terakhir menjelang PRU ke-14 yang dijangka sengit, khususnya di Kedah.
Kedah merupakan antara negeri fokus yang mahu ditawan parti pembangkang pada PRU kali ini, khususnya Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR.
Pemimpin PAN, Khalid Samad sebelum ini menegaskan bahawa Pakatan Harapan mampu menewaskan BN dan memenangi PRU ke-14 kali ini meskipun bergerak tanpa PAS yang membentuk Gagasan Sejahtera bersama parti Ikatan sebagai blok ketiga.
PAS sebelum ini turut berkali-kali menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali bekerjasama dan telah berpatah arang dengan DAP dan PAN pada PRU ke-14 ekoran pengalaman pahit yang dilalui parti itu ketika menganggotai Pakatan Rakyat yang telah berkubur. - Kedahnews.com