Pukul Pemandu Lori: Empat Individu Termasuk Wanita Diberkas


PETALING JAYA - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan berhubung kes seorang pemandu lori dibelasah sekumpulan lelaki di tempat letak kereta kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa dekat sini, pada 14 Januari lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata kesemua mereka berusia 20 hingga 30-an itu ditahan dalam operasi di Negeri Sembilan, Kepong dan Kajang, Selangor Sabtu malam.

"Polis akan mencari beberapa lagi rakan suspek untuk membantu siasatan, usaha mengesan individu lain sedang dijalankan bagi membantu polis mendapatkan gambaran sebenar kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ops Selamat 10/2017 Sempena Tahun Baharu Cina di sini, Ahad.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata polis  merakam percakapan 15 individu termasuk pemilik video berhubung kes pukul itu.

Kes tersebut mendapat perhatian ramai apabila rakaman video yang tidak diketahui sumbernya menjadi tular di laman sosial yang memperlihatkan aksi beberapa lelaki membelasah mangsa yang terbaring di jalan raya selama beberapa minit. - Bernama