Raja Salman Akan Melawat Malaysia Hujung Februari Ini

Mohd Najib ketika berkunjung menemui Raja Salman di Arab Saudi sebelum ini.
BALING -  Raja Salman Abdulaziz Al-Saud yang bertanggungjawab menjaga Al-Haramain Masjidil Haram dan Masjid Nabawi  akan berkunjung Malaysia sempena lawatan rasmi pada penghujung Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengesahkan lawatan Raja Arab Saudi itu di hadapan kira-kira 23,000 warga Baling yang hadir di Padang Awam Kuala Ketil di sini petang tadi.

"Hari ini saya sudah dapat pengesahan bahawa Raja Salman selaku penjaga dua tanah suci Makkah dan Madinah akan melawat Malaysia penghujung bulan dua (Februari) ini," kata beliau mengesahkan lawatan DiRaja Arab Saudi itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut membayangkan akan cuba berbincang dengan Raja Salman mengenai pertambahan kuota jemaah haji dari Malaysia, namun beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa persetujuan mengenainya.

"Mudah-mudahan, tengoklah dulu, saya tak berani janji apa-apa, tetapi akan cuba bincang untuk naikkan kuota haji bagi rakyat Malaysia... inilah bagusnya kalau kita ada hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau turut akan berbincang mengenai agenda berkenaan dengan Pengerusi Tabung Haji, Dato' Seri Abdul Azeez Rahim, terlebih dahulu.

Kata beliau, ia perlu diusahakan ekoran jemaah Malaysia yang mendaftar haji terpaksa menunggu lama untuk tiba giliran menunaikan haji setiap musim.

"Cuba bayangkan , hari ini daftar (haji) kita terpaksa tunggu 70 tahun baru dapat tunai haji," katanya.

Jelas beliau, itulah keuntungan memiliki hubungan diplomasi yang akrab dengan negara-negara luar yang akan memberikan kebaikan bukan saja kepada negara, malah juga membawa kemakmuran kepada rakyat di negara ini.

Sebaliknya kata beliau, jika Malaysia terus menerus dijejaskan imej oleh pihak tertentu seperti sebelum ini maka bukan saja akan merugikan negara, malah turut akan merugikan rakyat Malaysia.. - Kedahnews.com