Rakyat Kedah Diminta Lebih Bijak Memilih Supaya Tidak Rugi


ALOR SETAR - Rakyat di negeri Kedah, khususnya masyarakat Cina diminta untuk membuat pilihan yang lebih bijak untuk memilih Barisan Nasional (BN) berbanding DAP pada pilihan raya umum (PRU) yang akan datang kerana ia akan memberi keuntungan kepada rakyat dan kepentingan negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, setiap parlimen kebiasaannya akan menerima peruntukan dari Kerajaan BN Pusat sebanyak RM30 juta dan peruntukan tersebut amat membantu rakyat di parlimen terbabit.

"Kalau satu parlimen dapat RM30 juta, dan kekalahan di 5 parlimen akan menjadikan rakyat kehilangan RM150 juta nilai pembangunan di parlimen tersebut.

"Contohnya Tan Sri Chor Chee Heung tewas di Parlimen Alor Setar pada PRU yang lalu, itu termasuklah kawasan-kawasan lain yang sebenarnya kalau kita menang, peruntukan berkenaan boleh digunakan bagi pembangunan di kawasan parlimen itu.

Jelas Ahmad Bashah, peruntukan tersebut belum lagi termasuk dengan pelbagai program dan projek-projek rakyat yang boleh dipohon oleh Ahli Parlimen BN kepada Kerajaan Pusat seperti sekolah, masjid, rumah-rumah ibadat dan sebagainya.

Justeru itu beliau memohon kepada rakyat supaya tidak lagi silap memilih dengan memberikan undi kepada parti pembangkang yang disifatkan hanya pandai berkata-kata di depan rakyat, namun tidak membawa pembangunan dan perubahan yang baik kepada negeri Kedah.

"Jadi saya minta kepada para pengundi supaya tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Jika pilih pembangkang, apa yang mereka boleh beri kepada rakyat? Tiada satu pun perubahan yang baik. Mereka hanya pandai bercakap saja dan tabur janji kosong," katanya.

Menteri Besar itu juga turut meminta supaya seluruh kepimpinan MCA agar lebih kerap turun padang bertemu rakyat dan ahli di peringkat akar umbi bagi membantu serta memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat di negeri ini.

"Saya minta supaya kepimpinan MCA dapat lebih kerap turun ke bawah untuk berjumpa dengan ahli-ahli parti untuk menyelesaikan apa jua keperluan-keperluan rakyat.

"Perdana Menteri pun sebut bahawa tahun ini adalah tahun 'delivery' (penyampaian), untuk kita sampaikan keperluan rakyat dan juga ahli-ahli parti, serta penyokong-penyokong Barisan Nasional," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan pertukaran kerusi di kalangan parti komponen BN pada PRU nanti, Ahmad Bashah menyerahkan keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan dan BN Negeri akan menerima sebarang keputusan dengan sikap berlapang dada.

Ahmad Bashah berkata demikian kepada Kedahnews.com ketika hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka bersempena Tahun Baru Cina anjuran MCA di Sekolah Menengah Keat Hwa (Persendirian) yang dihadiri hampir 2,000 orang, di sini hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaan adalah Timbalan Pengerusi MCA Negeri Kedah, Datuk Leong Yong Kong, barisan Exco Kerajaan Negeri, kepimpinan MCA Negeri, pimpinan akar umbi MCA serta wakil-wakil parti komponen BN. -Kedahnews.com