Ratu Pecut Negara Anak Jati Kedah "Diarah" Tambah Berat Badan


KUALA LUMPUR - Ketika kebanyakan anak gadis mahu menurunkan berat badan, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli pula 'diarah' menambahkan berat bagi membantu meningkatkan daya pecutannya.

Ia adalah saranan pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan jurulatihnya M. Balamurugan, selepas didapati terlalu 'ringan' untuk membuat pecutan.

Anak jati Kedah berusia 23 tahun itu yang kini mempunyai berat badan 41.5 kilogram, selepas meningkat 3kg, disaran supaya menaikkan beratnya lagi kepada 45kg menjelang Jun ini dalam misi meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.

"Selepas meningkatkan berat badan, saya rasa lebih baik dan normal ketika lari kerana dulu terlalu ringan, tidak sesuai untuk pelari pecut. Sekarang ini ketika angkat berat pada sesi latihan di gimnasium pun agak senang.

"Buat masa ini, saya menjaga pemakanan dan meningkatkan pengambilan protein dalam makanan. Harap ini dapat membantu memperbaiki catatan peribadi saya," katanya kepada Bernama.

Catatan peribadi terbaik Zaidatul Husniah bagi acara 100 meter adalah 11.62 saat yang dilakukannya ketika Sukan Universiti Asean (AUG) Palembang pada 2014.

Pelajar ijazah Pendidikan Jasmani, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga berhasrat mengejar rekod kebangsaan acara 100m iaitu 11.50s yang dipegang G.Shanti sejak 1993.

Pada Sukan Olimpik Rio 2016, Zaidatul Husniah yang mendapat tiket wildcard, sekadar mencatat 12.12s di peringkat saringan dan 12.62s pada pusingan pertama, sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

Di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, beliau terpaksa berpuas hati ditempat keempat acara 100m selepas mencatat 11.93s dan tempat keenam bagi acara 200m dengan masa 24.18s.

Bagi temasya tahun ini, dia dijangka menerima saingan sengit daripadajuara bertahan acara 100m, Richardson Kayla Anise dari Filipina, juara bertahan acara 200m Veronica Shanti Pereira (Singapura), Wannakit Tassaporn (Thailand) dan Thi Oanh Nguyen (Vietnam) bagi acara riben biru itu.

Sementara itu, Balamurugan yakin Zaidatul Husniah mampu mencatat masa bawah 11.60s jika dapat meningkatkan berat badannya kepada 45kg menjelang Jun ini.

"Dia mempunyai semua kebolehan untuk mencatat masa yang lebih baik, tetapi kerana kekurangan berat badan, dia tidak mempunyai tenaga untuk memecut," katanya.

Sumber: mStar