Reman Penolong Jurutera Kanan JKR Dilanjutkan 6 Hari Lagi


ALOR SETAR – Perintah reman terhadap seorang penolong jurutera kanan Jabatan Kerja Raya bersabit kes rasuah penyelenggaraan dan naik taraf jalan dilanjutkan enam hari lagi bermula semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzillah Ibrahim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 56 tahun itu dilanjutkan sehingga 31 Januari.

Sebelum ini suspek direman selama tujuh hari bermula 19 Januari lalu dan tempoh reman itu berakhir semalam.

Suspek diberkas SPRM di rumahnya pada 18 Januari lalu kerana dipercayai menerima rasuah daripada kontraktor melibatkan 30 projek penyelenggaraan dan naik taraf jalan di daerah Sik sejak 2012.

Dua hari kemudian, pemeriksaan di rumah suspek menemukan wang tunai berjumlah RM1.1 juta yang disimpan di dalam bekas plastik dan tin coklat tersorok di dalam dinding papan bilik tidur utama rumah suspek. – BERNAMA