Restu MB Kedah Mendorong Semangat Pelajar OKU


ALOR SETAR - Seorang anak Kedah bertaraf OKU meluahkan rasa bertuah apabila berpeluang bertemu sendiri dengan Menteri Besar Kedah bagi mendapat sokongan dan restu untuk meneruskan perjuangan akademiknya.

Bakal berangkat bersama 12 lagi rakan ke Kazakhstan tidak lama lagi, Nurdiyana Aasroradzi yang berasal dari Kampung Sungai Baru begitu teruja dapat bertemu dengan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di pejabat Menteri Besar itu, di sini hari ini.

"Mudah sangat bagi saya untuk bertemu dengan Dato' Seri Ahmad Bashah. Beliau amat mesra dengan rakyat dan amat prihatin untuk membantu, tidak seperti yang diperkatakan di media sosial selama ini.

"Saya amat berterima kasih atas sokongan dari Dato' Seri Ahmad Bashah yang memberi restu kepada kami. InsyaAllah, kami tidak akan sia-siakan sokongan dan galakan yang beliau berikan," katanya ketika ditemui Kedahnews.com di sini hari ini.


Menurut pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, dia sedang mengikuti program pertukaran pelajar untuk perbandingan budaya penggunaan teknologi maklumat secara khususnya berkaitan media sosial di antara Malaysia - Kazakhstan.

"Kami semuanya 13 orang, dua dari kami adalah anak Kedah," ujar penuntut ijazah sarjana itu.

Selain restu, Nurdiyana turut menerima sumbangan ikhlas dari Menteri Besar Kedah berbentuk wang tunai bagi mempermudahkan kajiannya berhubung budaya media sosial selama empat bulan di negara berkenaan.

"Kita dapati generasi zaman sekarang di negara kita memang 'addicted' dengan media sosial, dan kajian kami akan menjurus kepada mencari punca sebenar mengapa golongan ini begitu 'addicted' kepada media sosial," jelasnya.

Ahmad Bashah menjelaskan bahawa bantuan yang diberikan kepada pelajar sarjana berkenaan adalah sebahagian dari konsep pentadbirannya yang berteraskan Muafakat Pendidikan bagi membantu anak-anak Kedah. -Kedahnews.com