Ringgit Diniagakan Lebih Tinggi Pagi Ini


KUALA LUMPUR - Ringgit berada lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam sesi awal pagi ini, susulan sentimen belian lemah ke atas dolar, kata seorang peniaga.

Pada 9.25 pagi, ringgit diniagakan pada 4.4250/4300 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi daripada 4.4300/4330 yang direkodkan Jumaat lalu.

Peniaga itu berkata, dolar AS dijejaskan oleh dasar imigresen yang dilaksanakan Presiden Donald Trump, baru-baru ini.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti Tahun Baharu Cina. Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5343/5410 daripada 5.5588/5643 dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.7321/7397 daripada 4.7370/7411.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1142/1182 daripada 3.1046/1078 dan jatuh berbanding yen kepada 3.8884/8935 daripada 3.8522/8565. - BERNAMA