ALOR SETAR - Penjelasan mengenai usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 perlu dibuat secara terbuka dan menyeluruh kepada semua rakyat khususnya masyarakat Cina di negara ini supaya ia dapat difahami di setiap peringkat.
Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kegagalan memberikan penjelasan mengenai usul pindaan tersebut dengan baik kepada masyarakat bukan beragama Islam seterusnya akan menimbulkan salah faham dan masalah di kemudian hari.
"Penjelasan yang diberi hanya bertumpu kepada masyarakat Islam sahaja, manakala masyarakat bukan Islam masih tidak mendapat penjelasan secara menyeluruh dan sewajarnya.
"Selain itu, penjelasan yang diberi juga biasanya bersifat tidak terbuka, jadi ia menyulitkan bagi orang awam dan golongan bukan Islam kerana mereka tidak mempunyai saluran yang baik untuk mendapat penjelasan mengenai RUU itu," katanya kepada Kedahnews.com di sini.
Sehingga hari ini, Dr Leong menjelaskan bahawa MCA Kedah perlu taat dan patuh pada pendirian Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang membantah usul pindaan RUU Akta 355 itu yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya, pendirian MCA itu tidak bermaksud untuk bersikap anti-Islam, namun lebih kepada bersandarkan kepada prinsip mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi Raja Berparlimen di negara ini.
Dr. Leong berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka MCA bersempena Tahun Baru Cina yang berlangsung di Sekolah Menengah (Persendirian) Keat Hwa, di sini, semalam. -Kedahnews.com