Saksi Dakwa Suami Pengasuh Bunuh Bayi


DISEMBER lalu, netizen dikejutkan dengan berita kematian seorang bayi perempuan yang meninggal dunia di rumah pengasuh di sebuah kondominium di Batu Caves pada 27 Disember 2016.

Nur Hanna Nasuha Hafiz, 13 bulan, dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan kisahnya menjadi tular di laman sosial apabila rakan ibunya, Aleeza Rosli memuat naik kisah tersebut di Facebook.

Bagaimanapun, pendedahan bapa saudara mangsa, Syedferdaus Syedmohammad benar-benar mengejutkan kerana mendakwa anak saudaranya itu meninggal dunia bukan akibat penyakit yang dialami sebaliknya dipercayai dibunuh di rumah pengasuh.

Menerusi perkongsian Syedferdaus di laman Facebook, dia menjelaskan mengenai seorang wanita telah menghubungi ibu mangsa, Farah Husna Mohd Noh untuk menceritakan mengenai kes kematian bayi malang itu.


Jelasnya, pertemuan di sebuah restoran di Gombak mendedahkan mangsa meninggal dunia akibat perbuatan suami pengasuh yang telah menekup muka mangsa menggunakan tapak tangan sehingga lemas.

Wanita yang mendakwa dirinya mengenali pengasuh berkenaan, menjelaskan kejadian tersebut berlaku apabila lelaki yang merupakan warganegara Bangladesh itu berang kerana mangsa sering menangis.

“Saksi beritahu pengasuh perempuan iaitu adik saksi sendiri yang telah beritahu tentang kejadian tersebut.

“Saksi juga beritahu sering dengar perbualan pengasuh dan suami semasa bergaduh dengan pengasuh keluarkan perkataan “kau yang bunuh hanna” terhadap suaminya,” katanya.


Wanita tersebut juga tidak mahu dikaitkan dalam kes tersebut dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Susulan pendedahan itu, ibu bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Gombak dan pengasuh wanita tersebit telah ditahan pada Sabtu lalu.

Jelasnya, suami pengasuh tersebut dikatakan berada di Johor dan menghilangkan diri selepas kejadian sebenar diketahui.

“Pihak polis sahkan suami pengasuh yang merupakan suspek utama telah datang serah diri ke IPD Gombak lewat petang Selasa lalu,” katanya.

Syedferdaus berkata, selepas kematian anak saudaranya itu seorang lagi kanak-kanak berusia 12 bulan patah tangan di rumah pengasuh tersebut dan ibu mangsa telah membuat laporan polis di Hospital Selayang.

Menurutnya, mereka sekeluarga sudah redha dengan pemergiaan Hanna namun mendesak pihak polis untuk menjalankan siasatan bagi menuntut keadilan di atas kematian anak saudaranya itu.

Jelasnya, sebelum anak saudaranya itu meninggal dunia, dia dihantar ke rumah pengasuh dalam keadaan baik dan bukannya lemah atau mempunyai sebarang penyakit.

“Mohon disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan demi keadilan untuk arwah Nur Hanna Nasuha Hafiz yang telah disyaki dibunuh dan bukan mati mengejut,” katanya. – Kedahnews.com