Saudi Mansuh Kuota Haji, Tabung Haji Tunggu Makluman Rasmi


RIYADH – Kerajaan Arab Saudi semalam memutuskan untuk menarik balik pengurangan kuota jemaah haji yang dikenakan lima tahun lalu, dan ia bakal dilaksanakan bermula tahun ini.

Pihak berkuasa tertinggi negara tersebut dilaporkan telah meluluskan cadangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Muhammad Bin Naif.

Ia sekali gus untuk menguatkuasakan semula kuota haji asal terhadap kedua-dua kelompok jemaah warga tempatan dan asing yang pernah diwujudkan sebelum langkah pengurangan drastik diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.

Media tempatan di sini melaporkan, pihak berkuasa berkaitan sudah pun membuat persiapan untuk menerima pertambahan secara besar-besaran jumlah jemaah untuk menunaikan ibadah fardu haji pada musim tahun ini.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan ketika Putera Muhammad menerima menghadap beberapa ketua delegasi haji dari pelbagai negara Arab dan Islam di pejabatnya di Jeddah dekat Makkah, kota suci terbesar umat Islam.

Pihak berkuasa Arab Saudi sebelum ini mengenakan sebanyak 20 peratus pengurangan kuota untuk jemaah dari luar negara manakala lagi 50 peratus pengurangan kuota untuk rakyat tempatan yang berhasrat menunaikan haji.

Tindakan tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan jutaan jemaah ketika projek pembesaran terbesar Masjidil Haram yang hampir siap selain kerja menyiapkan mataf dan beberapa kawasan di sekitar kota Makkah.

Putera Muhammad turut mengarahkan peningkatan kuota haji dilaksanakan secara berperingkat dan ia bakal menyaksikan lima juta mengerjakan haji tahun ini dan dijangka meningkat kepada 30 juta menjelang tahun 2020.

Pada musim haji lalu, hanya dua juta jemaah haji dari seluruh dunia dibenarkan untuk mengerjakan ibadah Rukun Islam yang kelima itu susulan pelaksanaan ketat pengurangan kuota yang diperkenalkan sejak tahun 2013 lalu.

Setahun sebelum kuota diturunkan, jumlah jemaah haji pada tahun 2012 mencecah rekod tertinggi dalam sejarah iaitu 3.2 juta orang dan ia termasuk 1.4 juta jemaah tempatan atau warga asing yang menetap di bumi Arab Saudi.

Jumlah tersebut naik 2,824 peratus berbanding jumlah jemaah haji pada 1920 hanya 59,000 orang, iaitu tahun pertama apabila kerajaan Arab Saudi mula merekodkan pendaftaran bilangan jemaah secara lebih sistematik.

Kuota jemaah mula dilaksanakan pada 2000 hasil inisiatif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpusat di Jeddah dengan semua negara berdasarkan nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam di negara berkenaan.

Ini bermakna Indonesia sebagai negara paling ramai umat Islam di dunia boleh menghantar 196,000 jemaah diikuti Pakistan (95,000) dan Mesir (75,000), manakala negara-negara lain pula jauh adalah lebih rendah angkanya.

Singapura contohnya hanya dibenarkan menghantar 680 orang sahaja jemaah haji kerana bilangan penduduk Islam di republik pulau kecil itu amat sedikit, sekali gus ramai jemaah terpaksa menunggu giliran yang terlalu lama.

Peraturan unik itu namun tidak tertakluk kepada Malaysia hasil hubungan diplomatik erat dengan Arab Saudi dan menikmati nisbah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya iaitu kira-kira 27,900 orang.

DI KUALA LUMPUR dalam pada itu pihak Lembaga Tabung Haji (TH) masih lagi menunggu pengesahan rasmi dari Arab Saudi berhubung isu penarikan semula pengurangan kuota jemaah haji yang dilaksanakan sejak 2013.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan TH, menyatakan masih belum menerima sebarang pengesahan Kementerian Haji Arab Saudi dan akan memaklumkan kepada semua pihak selepas dimaklumkan.

“Pada 2013, Arab Saudi menurunkan kuota sebanyak 20 peratus bagi semua negara atas faktor kerja pembesaran Masjidil Haram. Kuota Malaysia dikurangkan kepada 22,320 jemaah sejak 2013 hingga 2016,” kata kenyataan itu.

Pengenalan kuota menyebabkan ramai bakal jemaah terpaksa menunggu giliran agak lama malah ada mencecah tempoh 70 tahun sehingga ada juga meninggal dunia tidak sempat mengerjakannya. – Agensi