Saya Tidak Ada Produk Kecantikan Sendiri - Dynas Mokhtar


PELAKON tinggi lampai Dynas Mokhtar mendedahkan pernah disapa oleh seorang peminatnya yang mengaku telah menggunakan produk kecantikan yang konon didakwa diasaskan olehnya.

Terkejut dengan dakwaan pelik itu, pelakon drama Samudera Rindu ini menerusi portal Media Hiburan menafikan mempunyai sebarang produk kecantikan sendiri.

“Individu tersebut mengatakan dia memakai produk kecantikan saya. Terkejut dengan perkara tersebut, saya menjelaskan kepadanya yang saya memang tiada produk kecantikan.

“Apabila mendengar penjelasan saya, dia pula terkejut kerana dia ingat produk itu milik saya,” kata Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar.

Oleh itu, aktres ini memberi peringatan kepada masyarakat dan peminatnya bahawa dia tidak mengeluarkan sebarang produk kecantikan tetapi hanya menjalankan perniagaan dalam bidang fesyen menerusi jenama Dynas Nursing Attire (DNA).


Meskipun sibuk menguruskan perniagaan yang diceburinya dan jarang muncul di kaca televisyen namun Dynas pernah menyatakan menerusi sebuah laman berita tempatan bahawa dia tidak akan berhenti dari dunia seni yang telah menjadi darah dagingnya yang diceburi sedekad lalu.

“Berlakon adalah keinginan saya sejak di usia remaja dan tidak ada salahnya jika terus berlakon sambil menguruskan perniagaan.

“Lagipun, keputusan itu turut mendapat sokongan daripada keluarga dan kenalan rapat.

“Bahkan, mereka berharap saya akan terus aktif berlakon,” jelas ibu tunggal kepada dua anak ini yang berusia 33 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur. -Kedahnews.com