Sekali Lagi Hadi Tegaskan Takkan Sesekali Bekerjasama Dengan DAP


MARANG – PAS mengulangi pendirian tidak menerima pelawaan DAP untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang untuk memastikan kemenangan pembangkang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pelawaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu kedua-dua parti pembangkang itu bergabung semula bukanlah satu perkara baharu.

Malah isu gabungan parti pembangkang akan timbul setiap kali menjelang PRU sejak dari dulu lagi.

Katanya kerjasama itu tidak akan berlaku kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri bahkan DAP hingga kini menentang beberapa agenda utama PAS khususnya meningkatkan hukum syariah dalam kalangan umat Islam.


“Rang Undang-Undang 355 pun dia (DAP) tak setuju, benda ni berkaitan dengan perkara asas dalam PAS untuk setiap dasar dan prinsip parti.

“DAP ada agendanya, PAS pun ada agenda juga… jika ada percanggahan agenda, macam mana nak ke arah itu (kerjasama).

“Pelawaan Kit Siang lebih kepada hendak menang, kita bukan sekadar nak menang pilihan raya sahaja, PAS mahu lakukan perubahan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila di sini, semalam.

Abdul Hadi mengulas mengenai pelawaan Lim baru-baru ini yang berharap dapat bergabung semula dengan PAS untuk memastikan kemenangan dalam PRU ke-14.

Sebelum ini, DAP mengambil keputusan memutuskan hubu­ngan dengan Abdul Hadi berikutan tindakan PAS yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan dan pada masa sama DAP menuduh Abdul Hadi sebagai pemimpin yang tidak bermaruah dan tidak jujur.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memilih untuk melupakan PAS, Abdul Hadi secara sinis berkata:

“Tun M ni, berapa kali dia keluar masuk UMNO, berapa kali dia keluar, berapa kali dia masuk…. tak konsisten”.

Ditanya mengenai perbincangan antara PPBM dan PAS dijangka pada awal Februari ini, Abdul Hadi berkata perbincangan boleh dilakukan namun PAS hanya mengutamakan prinsip, dasar dan matlamat parti itu dalam setiap perkara sebelum diputuskan.  – BERNAMA