IPOH - Sebuah video yang dimuat naik di YouTube menunjukkan seorang remaja memanjat kren yang tinggi menerusi rakaman sendiri.
Klip video berdurasi 1.22 minit itu bertajuk 'Viral aksi berani remaja lelaki pulak panjat kren' dimuat naik pengguna "Viral Malaysia" pada 31 Disember lalu.
Dalam video berkenaan, remaja tersebut merakamkan dirinya sendiri sambil memanjat kren.
Sebaik sahaja sampai tiba di kemuncak, remaja tersebut duduk dan terus merakamkan dirinya sendiri.
Latar belakangnya dapat melihat kawasan Greentown.
Berdasarkan mercu tanda yang dilihat pada latar belakang, video tersebut dipercayai dirakamkan di kawasan pembinaan Pusat Konvensyen Ipoh.
Jumaat lalu, satu video lain dimuat naik di YouTube menunjukkan sekumpulan remaja memanjat papan tanda 'Ipoh' di puncak Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar.
Mereka turut mengambil gambar dengan mengucapkan terima kasih kepada majlis bandaraya kerana memberikan kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man menafikan pihak berkuasa meluluskan aksi berkenaan, sambil menambah bahawa ia adalah kawasan larangan dan boleh membahayakan orang lain.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, perkara itu disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.
Difahamkan, lapan orang terlibat dalam aksi papan tanda Ipoh telah hadir menyerah diri kepada pihak polis dan memberi keterangan pada pagi Isnin.
Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau denda RM500 atau kedua-dua sekali.
Sumber: mStar