Sinar Harian Akan Ambil Tindakan Undang-Undang


PORTAL Sinar Harian menafikan sekeras-kerasnya penyiaran artikel yang bertajuk “Al-Fatihah, Takziah Pelawak Senario Lan Pet-Pet” yang didakwa dimuat naik melalui laman sosial Facebook, semalam.

Perkara itu disedari apabila ramai dalam kalangan netizen mula berkongsikan gambar berita palsu tersebut yang mengatakan pelawak terkenal, Mazlan Ahmad, 47 atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet kononnya telah meninggal dunia pada Isnin.


Pihak Sinar Harian kini sedang menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar yang kononnya menggunakan platform Sinar Harian untuk kepentingan peribadi.

Difahamkan, berita kematian palsu itu turut membuatkan pelawak berkenaan dihujani panggilan telefon tanpa henti yang mahu mengetahui kesahihan berita itu.

Ini adalah kerana orang ramai salah sangka apabila keliru dengan logo ‘Sinar Harian News’ yang tertera pada portal berkenaan kerana menganggap ia milik akhbar daripada kumpulan media karangkraf. –Kedahnews.com