Skandal BMF: Kit Siang Pernah Gelar Mahathir "Penyangak"


ALOR SETAR - Lim Kit Siang tidak wajar untuk bersikap hipokrit berkenaan skandal kewangan Bumiputra Malaysia Finance (BMF) ekoran Penasihat DAP itu pernah menggelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "penyangak".

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, pendirian Kit Siang begitu konsisten ketika skandal tersebut menggegarkan negara sebelum ini, namun kendur selepas DAP kini bersekutu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Mahathir.

"Kit Siang terpaksa berlembut dengan Dr Mahathir walaupun pernah menggelar pemimpin itu penyangak.

"Namun Kit Siang sehingga kini masih berdiam diri dalam skandal BMF yang ada kena mengena dengan Dr Mahathir," katanya, mengimbas kembali pendirian sebenar Kit Siang yang pernah menulis buku khas bertajuk, "The BMF Scandal" itu.

Di atas prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang sering dilaung-laungkan DAP selama ini, Tunku Aziz turut mencabar Kit Siang supaya menyatakan pendiriannya mengenai skandal berkenaan setelah ia didedahkan menerusi beberapa dokumen oleh CIA baru-baru ini.

"Justeru, saya minta Kit Siang nyatakan pendiriannya mengenai skandal yang dikaitkan dengan pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun, demi ketelusan dan akauntabiliti yang diperjuangkannya selama ini," katanya memetik laporan Berita Harian.

Dalam sidang media itu, bekas Naib Pengerusi DAP itu juga meluahkan rasa hairan mengapa sehingga hari ini Kit Siang tidak bersuara dalam isu berkenaan sedangkan beliau antara pemimpin paling lantang menuntut supaya Dr Mahathir disiasat berhubung skandal BMF. -Kedahnews.com