SPRM Sahkan Tidak Siasat Ketua Menteri Melaka


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan telah mengambil keterangan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 23, Akta SPRM 2009, semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan kepada media menjelaskan bahawa Idris merupakan saksi bagi kes melibatkan pegawai beliau yang pernah ditahan SPRM pada November lalu.

"Pegawai SPRM telah pergi ke pejabat beliau di Melaka kira-kira jam 2 petang semalam.

"Walaubagaimanapun, maklumat berhubung kes tersebut tidak boleh didedahkan bagi memelihara integriti dalam siasatan," tegasnya dalam satu kenyataan yang diterima Kedahnew.com, di sini hari ini.

Pagi tadi, Idris menjelaskan kepada media bahawa bukan beliau yang disiasat SPRM petang semalam, seperti mana yang tersiar di muka depan salah sebuah akhbar tempatan, hari ini.

Sebaliknya, jelas beliau kehadiran beberapa pegawai SPRM ke pejabatnya itu, adalah bertujuan untuk mendapatkan bantuan atau maklumat bagi melengkapkan siasatan berhubung beberapa pegawai kerajaan negeri yang ditahan pihak berkenaan dalam tempoh lebih sebulan lalu.

Dipercayai kenyataan tersebut dikeluarkan bagi mengelak kemungkinan salah faham ekoran tindakan SPRM mengambil keterangan Ketua Menteri Melaka itu menimbulkan spekulasi yang mungkin dipolitikkan pihak tertentu, khususnya di media sosial. -Kedahnews.com