Suami Paksa Isteri Melacur Hanya Untuk RM50 Di Sg Petani

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI - Hanya untuk dapatkan RM50, seorang lelaki sanggup memaksa isterinya mengadakan hubungan seks dengan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah dekat Bandar Amanjaya, di sini, kelmarin.

Kejadian itu berlaku, kira-kira jam 9.30 malam, pada 5 Januari lalu, wanita berusia 23 tahun dipercayai  dipaksa melacurkan diri kerana takut dipukul suami jika ingkar arahan.

Wanita warga tempatan itu merupakan seorang ibu kepada dua anak perempuan berusia tujuh bulan dan tiga tahun tinggal di Flat Paya Nahu, di sini, bersama suaminya berusia 34 tahun yang juga lelaki tempatan dan  tidak mempunyai pekerjaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berdasarkan aduan diterima daripada  wanita yang dicekup berkhalwat lelaki warga asing itu, mangsa mendakwa berbuat demikian kerana dipaksa  suaminya untuk melacurkan diri kepada seorang lelaki warga Bangladesh dengan bayaran RM50.

Menurutnya, berdasarkan aduan mangsa  ketika kejadian suaminya hanya menunggu di dalam kereta bersama bayi mereka berusia tujuh bulan sehingga dia selesai melayan nafsu lelaki warga asing berkenaan.

"Mangsa mendakwa terpaksa mengikut apa yang disuruh suaminya walaupun tanpa kerelaan kerana takut dipukul jika tidak mengikut arahan.

"Pada masa itu, pihak rukun tetangga di kawasan taman membuat serbuan dan menahan mangsa yang dipercayai berkhalwat di rumah tersebut, " katanya dalam kenyataan media, di sini.

Katanya, susulan tangkapan itu, mangsa kemudian menceritakan perkara yang berlaku kepada  pihak rukun tetangga kawasan tersebut.

"Suami mangsa turut ditahan  pihak Pejabat Agama Daerah Kuala Muda  manakala, lelaki warga asing sempat meloloskan diri  daripada dicekup pihak berkenaan," katanya.

Md Zukir berkata, mangsa dibawa ke Balai Polis Sungai Petani  untuk dibuat laporan tangkapan.

"Kes ini akan disiasat mengikut  Seksyen 372(A)(1) Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kegiatan pelacuran. Manakala, suami mangsa direman empat hari sehingga 10 Januari ini,"katanya.

Sumber: Sinar Harian