Othman merenung tapak kediamannya yang musnah dalam kebakaran empat tahun lepas. |
ALOR SETAR - Seorang warga emas yang menjadi mangsa kebakaran empat tahun lepas dari Kampung Seberang Alor, di sini, dipercayai masih menanti kediamannya yang musnah dapat dibaiki semula.
Menurut Mohd Othman Taib, 68, berkata, mereka tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman diduduki bersama arwah isteri, Noraini Ahmad, 61, musnah dijilat api.
“Dalam kejadian kira-kira 9 pagi 15 Januari 2013, kami kerugian kira-kira RM120,000 apabila kediaman dibina menggunakan wang diperoleh selepas bersara sebagai tentera terbakar.
“Selepas itu, kami suami isteri terpaksa tinggal dalam khemah beberapa hari, sebelum menumpang di kediaman pusaka arwah bapa mertua sementara waktu sehingga kini,” katanya.
Bagaimanapun, kata Othman, isteri yang tercinta telah meninggal dunia dua tahun lepas menyebabkan dia kekok untuk menumpang di rumah pusaka kerana dia langsung tidak memiliki hak ke atas kediaman itu.
Othman berkata, dia berhasrat membaiki kediaman mereka yang terbakar menggunakan modal sendiri, namun wang pencen sekitar RM820 sebulan didakwa hanya cukup-cukup makan.
Katanya, wang pencen itulah digunakan untuk menyara kehidupan dia dan anak bongsu, Mohd Syamil, 25, yang hanya mengambil upah membantu rakan memasang dekoder dengan pendapatan tidak menentu.
"Anak saya dahulu pernah bekerja sebagai polis bantuan, sebelum mengambil keputusan berhenti kerja semata-mata menjaga ibunya yang sakit.
“Bayangkan, jikalau pak cik sudah tiada nanti. Apalah nasib anak, tetapi jika memiliki rumah sendiri, pasti lebih senang kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu risau kerana sudah pasti memiliki tempat untuk berlindung,” katanya.
Katanya, dia ada mengemukakan beberapa permohonan, bagaimanapun masih belum menerima jawapan sehingga kini, sekali gus membuatkan dia hampir berputus asa.
Othman berkata, dia buntu memikirkan nasib mereka yang kehilangan tempat kediaman, sekali gus mengharapkan rumah yang musnah itu dapat dibaiki atau dibina semula.
“Jikalau, ada insan baik hati boleh bantu bina semula rumah, memang amat dihargai.
"Tetapi, jika ada sedia bantu bina bumbung sekalipun sudah cukup, kerana kami sedia tinggal di rumah itu," katanya.
Sumber: Sinar Harian