Sumbangan Barakah Untuk Rakyat, Bebas Dari Politik


ALOR SETAR - Bantuan Barakah yang disalurkan secara terbuka pada tahun ini bukan helah BN untuk meraih undi PRU akan datang.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Al Mahsri berkata, bantuan pada tahun ini diedarkan secara terus dari rumah ke rumah untuk mendekati dan mendengar masalah rakyat.

Menurutnya, bantuan ini diberikan kepada semua rakyat, tanpa mengira latar belakang politik dan fokus diberikan kepada golongan yang masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pemimpin sebelum ini

"Selain menyampaikan kotak makanan, data penerima turut direkodkan dalam borang yang disediakan untuk mengenal pasti jenis bantuan yang masih diperlukan penerima,” katanya, ketika Program Bantuan Barakah oleh Pemuda Umno Bahagian Alor Setar di Dun Alor Mengkudu, baru-baru ini.


Katanya, seperti hari ini (semalam) terdapat beberapa penerima yang memerlukan bantuan dari segi rumah dan bantuan kewangan untuk menampung kos anak yang sakit.

“Sehubungan itu, kita akan panjangkan kes mereka kepada agensi yang sepatutnya agar tindakan seterusnya dapat diambil,"  katanya.

Katanya lagi, bantuan Barakah pada tahun ini turut diperkemas dengan sukarelawan Barakah yang diwujudkan di setiap parlimen.

“Setiap parlimen mempunyai 100 sukarelawan yang ditubuhkan melalui gerakan orang muda dan sehingga kini kita mempunyai lebih 1,500 sukarelawan.

“Saya dapat lihat, sambutan daripada anak muda sangat menggalakkan, mungkin kerana kerja-kerja sukarela ini merupakan salah satu minat mereka,” katanya.

Beliau yang juga penyelaras sukarelawan Barakah Parlimen Alor Setar berkata, pelancaran sukarelawan Barakah akan diadakan 3 Februari ini, yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Setakat ini, bagi parlimen Alor Setar, 1,000 penerima selamat  menerima kotak makanan masing-masing dengan kekuatan tenaga 70 sukarelawan dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian