Gambar Hiasan |
KUANTAN – “Tahun Baharu Cina kali ini sudah tiada seri. Kami lebih memikirkan soal perniagaan yang rugi,” kata peniaga Lee Oi Fong selepas kedai barangan antik miliknya di Sungai Lembing di sini, ditenggelami air.
Lee, 48, berkata beliau dan suaminya Chua Chi Wah, 47, cuba untuk menyelamatkan sebanyak mungkin barangan dengan memindahkannya ke tingkat atas kedai, sehingga menyebabkan mereka berdua sakit kaki.
Bagaimanapun, katanya, tidak banyak yang boleh dipindahkan kerana air naik terlalu cepat selain beliau dan suami ‘sudah kehabisan tenaga’ untuk mengangkat barangan besar seperti kerusi, meja dan almari perhiasan.
“Kami telah membuat persiapan Tahun Baharu Cina di rumah keluarga di Kuantan. Tapi semangat untuk berhari raya sudah tiada… cuma rasa bersyukur kerana semua anggota keluarga selamat,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Chan Joon Kit, 28, menyifatkan malam semalam sebagai ‘hari paling sibuk’ apabila banjir melanda rumah dan kedai gunting rambut milik emaknya, Wong Mei Kem, 40, di sini.
Menurut Chan banyak barangan di kedai seperti kerusi, meja dan almari rosak, manakala di rumah, barang keperluan yang dibeli untuk menyediakan juadah tahun baharu tidak boleh digunakan selepas kediaman mereka dinaiki air separas paha.
“Saya sedar air mulai naik pada pukul 3 pagi dan dalam tempoh setengah jam sahaja sudah mencapai paras paha. Bila keluar, saya lihat keadaan di luar begitu kelam-kabut kerana semua cuba menyelamatkan barang,” katanya.
Sementara itu, pesara Wong Ah Chai, 62, juga merasakan sambutan Tahun Baharu Cina hambar kerana tiga anaknya yang berada di Kuala Lumpur mungkin tidak boleh pulang memandangkan jalan ke Sungai Lembing dinaiki air di beberapa lokasi.
Katanya, kawasan itu dinaiki air hampir setiap tahun, namun tidak terlalu hampir dengan Tahun Baharu Cina.
“Kami tidak begitu berharap air surut dalam masa terdekat kerana hujan masih belum berhenti. Sekalipun hujan berhenti, saya masih berkira-kira sama ada mahu anak pulang. Bimbang jika mereka terperangkap jika banjir berlaku lagi” katanya.
Selain membersihkan rumahnya, Wong juga meluangkan masa membantu mencuci kedai-kedai di sekitar Sungai Lembing, yang menjadi amalannya setiap kali banjir.
Beliau juga menunjukkan 10 kampit beras yang rosak akibat banjir yang diletakkan di dalam lori pikap, untuk dijadikan makanan ayam, bagi mengelak pembaziran.
Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing Datuk Mohamed Suhaimi Md Shah memita semua peniaga yang terjejas banjir untuk membuat laporan polis bagi melayakkan mereka menerima bantuan kerajaan negeri.
Semasa meninjau keadaan banjir, Mohamed Suhaimi turut melihat tebing Sungai Kenau di sini, yang runtuh hari ini, dipercayai akibat hujan lebat sejak semalam. – BERNAMA