Taja JDT Sebab Tanggungjawab Korporat, Ada Nilai Komersial – JCorp


KUALA LUMPUR – Penaja utama kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Corporation (JCorp) menjelaskan syarikat itu menaja kelab JDT disebabkan nilai-nilai komersial yang terdapat pada pasukan tersebut.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, JDT antara pasukan bola sepak terkemuka di Asia yang telah memenangi banyak piala, maka JCorp berbangga menaja JDT.

Kata beliau, tajaan ke atas pasukan JDT itu juga merupakan tanggungjawab sosial korporat JCorp untuk pembangunan sukan di negeri tersebut.

“Merujuk kepada penajaan Johor Corporation terhadap pasukan bola sepak JDT, ia dibuat adalah kerana nilai-nilai komersial yang terdapat di dalam pasukan itu.

“Ini dapat dibuktikan apabila laman sosial media Facebook JDT sendiri iaitu Johor Southern Tigers merupakan laman rasmi pasukan bola sepak terbesar di negara ini.

“Di Facebook misalnya, ia mempunyai lebih 1.7 juta tanda likes manakala di Instagram pula pengikutnya melebihi 450,000 orang dan di Twitter seramai 121,000 pengikut.

“Apatah lagi JDT ialah pasukan kesayangan rakyat Johor sejak kepimpinannya diambil alih oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya.

Kenyataan itu disiarkan melalui laman Johor Southern Tigers selepas bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa kelmarin mendedahkan ada pasukan dalam Liga Malaysia menggunakan paksaan, ugutan, penyelewengan dan titah perintah untuk mendapatkan duit tajaan berbentuk ‘pow‘ bagi menguatkan pasukan.

Tegas beliau, pasukan Kelantan tidak pernah menggunakan paksaan, ugutan, penyelewengan dan titah perintah untuk mendapatkan duit tajaan berbentuk `pow’ bagi digunakan terhadap pasukan The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, kata Annuar, dalam kemiskinan itu, TRW tetap bersyukur kerana masih kekal sebagai milik rakyat dan tidak dijadikan hak milik peribadi.

Tegasnya, mana-mana pihak yang menaja TRW adalah menaja sebuah pasukan rakyat dan bukannya pasukan milik individu tertentu.

“Kita ikut cara kita. Kita tiada masa nak bincang hal pasukan lain kecuali kalau terpaksa nanti,” kata Annuar. –Kedahnews.com