MESKIPUN sudah hampir dua bulan menjayakan Konsert High Note, penyanyi terkenal Ziana Zain mendedahkan dia masih belum lagi menerima 50 peratus baki bayaran persembahannya daripada pihak penganjur.
Kecewa dengan hal itu, Ziana memberitahu, dia akan mengambil tindakan terhadap penganjur konsert itu, iaitu, DME Entertainment, Segitiga Asia dan CMPagr.
“Ada perbincangan antara pihak pengurusan semua artis terbabit dan kami bersetuju untuk membawa perkara ini ke peringkat seterusnya serta mengambil tindakan undang-undang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Ziana, perkara itu akan diuruskan oleh pengurusnya, Alin.
“Dia yang menguruskan hal persembahan dan berkaitan. Dia juga berpesan kepada saya supaya memberi fokus kepada perniagaan dan nyanyian kerana dia akan uruskan semuanya berkaitan konsert itu.
“Selain pihak pengurusan, akan ada peguam yang dilantik bagi menguruskan kes ini,” katanya
Terdahulu, Ziana pernah menyifatkan Konsert High Note ini merupakan paling teruk pernah dijayakannya selama tiga dekad dalam industri seni.
Ini kerana, dakwanya pihak penganjur hanya memberikan mereka masa selama dua jam sahaja berlatih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan sebelum konsert berlangsung.
Konsert yang berlangsung di Istana Budaya, pada November tahun lalu ini, menampilkan tiga penyanyi bernada tinggi Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter. –Kedahnews.com