Tak Hadir Pelancaran PPBM, PAN Kecam PAS Tak Gentleman


ALOR SETAR - Tindakan PAS yang memilih untuk tidak menghadiri majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu (PPBM) pada Ahad lalu, disifatkan sebagai tidak "gentleman" dan tidak menghormati parti baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Anuar Tahir menegaskan bahawa, PAS sepatutnya menyambut baik kelahiran PPBM yang kini menjalin hubungan akrab dengan Pakatan Harapan.

“Kenapa dalam majlis bagi meraikan sebuah parti baru, mereka (PAS) tak sudi untuk hadir sedangkan PPBM amat menghormati PAS selama ini?

“Saya percaya kalau PAS hadir sekali pun dalam majlis itu, kedudukan kerusi mereka tidak akan ditempatkan bersama dengan PAN dan DAP,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Kelmarin, Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad menafikan laporan portal yang mendakwa PAS turut hadir dalam majlis pelancaran PPBM.

Tegas beliau, keputusan parti Islam itu untuk tidak menyertai majlis pelancaran PPBM dibuat adalah disebabkan oleh kehadiran PAN dan DAP dalam majlis sama, sekaligus menepati pendirian parti berkenaan yang berpatah arang dengan kedua parti tersebut. -Kedahnews.com