RANTAU PANJANG - Pas tidak mungkin bersama dengan PAN, namun ada kebarangkalian bersama parti serpihan Umno iaitu PPBM.
Yang Dipertua Pas Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun berkata, ia adalah berdasarkan analisis yang dibuat sebagaimana penolakan Umno terhadap PPBM.
Menurutnya, walaupun perjalanan dua parti politik ini belum stabil, namun ada kemungkinan satu persefahaman dicapai antara negeri-negeri lain.
Katanya, kekuatan Pas Kelantan mempertahan pemerintahan tidak bergantung kepada kedua-dua parti politik tersebut, namun berbeza dengan pentadbiran di Selangor, membentuk kerajaan Pakatan Rakyat bersama Pas.
“DAP perlu terpaksa mencari formula lain kerana kerajaan Selangor kekal sehingga sekarang ini, hasil kerjasama antara PKR, Pas, DAP dan terbaharu PAN.
“Pendek kata, sekarang bukan masa sesuai bagi setiap parti politik mencanang kerja atau menyebar kerjasama dengan parti lain,” katanya.
Beliau yang juga Bekas Adun Bukit Tuku berkata, amat janggal bagi sesebuah parti, membuat percaturan politik, apatah lagi untuk membicarakan cara membentuk kerajaan baharu setelah berjaya menumbangkan kerajaan BN sekarang.
Sumber: Sinar Harian