Tanah Rizab Melayu: Rakyat Kedah Sukar Beli Rumah - Pemuda Gerakan

Keng Liang (duduk, tengah) menunjukkan surat arahan penangguhan pendaftaran gadaian bagi Tanah Rizab Melayu yang dikeluarkan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah.
ALOR SETAR – Kerajaan Kedah perlu mempertimbangkan semula arahan penangguhan pendaftaran gadaian bagi Tanah Rizab Melayu kecuali kepada bank dan institusi kewangan yang disenaraikan di bawah Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu yang dikeluarkan melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kedah pada 16 November lalu.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, larangan itu menyebabkan banyak permohonan pembeli rumah di atas Tanah Rizab Melayu dan gadaian tanah kepada bank untuk mendapatkan pinjaman tidak diluluskan di bank.

“Isu sekarang adalah sejak dua bulan lalu, hampir semua bank sudah hentikan pinjaman terhadap Tanah Rizab Melayu. Tak kira sama ada ia dipegang oleh orang Melayu atau bukan Melayu.

“Banyak orang dah pergi bank dan saya difahamkan permohonan mereka ditolak. Orang sekarang menghadapi masalah untuk membeli rumah di Kedah. Ini termasuk rumah kos rendah dan rumah mampu milik kerana masalah tidak boleh pinjam bank untuk beli rumah,” katanya.

Katanya, individu yang mempunyai duit yang banyak dan boleh menjelaskan bayaran secara tunai sahaja boleh berbuat demikian.

“Saya nak jelaskan bahawa pindah milik tanah rumah sawah padi masih dibenarkan, arahan penangguhan ini hanya untuk gadaian. Pindah milik masih dibenarkan, tapi berapa ramai orang boleh beli rumah dengan tunai.

“Terutama sekali anak muda yang masih memerlukan pinjaman daripada bank. Maka Pemuda Gerakan Kedah memohon jasa baik kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini kerana saya rasa ini akan mengakibatkan kegusaran kepada anak muda di Kedah dan pihak yang ingin mendapatkan pinjaman daripada bank,” katanya.

Jelasnya, isu ini bukan melibatkan orang Melayu sahaja, tetapi juga orang bukan Melayu. Semua orang Kedah akan hadapi masalah ini sekiranya tanah yang mereka nak beli atau jual itu melibatkan Tanah Rizab Melayu.

“Saya bagi contoh kalau orang itu ada rumah di Tanah Rizab Melayu, nak dijual kepada orang lain dengan harga RM250,000. Kalau orang itu ada tunai baru dia boleh beli kerana bank tak akan bagi pinjaman sebab dia tak boleh gadai tanah tersebut kepada bank atas arahan yang dikeluarkan pada November lalu.

“Isu ini melibatkan ramai pihak yang nak beli rumah baru, terutama anak muda. Apa-apa perkara melibatkan Tanah Rizab Melayu bukan sahaja rumah, termasuk tanah industri di Tanah Rizab Melayu, maka mana-mana syarikat yang nak gadai tanah mereka untuk dapatkan pinjaman perniagaan mereka semua kena henti,” katanya.

Tambahnya, lebih 80 peratus tanah di Kedah adalah berstatus Tanah Rizab Melayu. Manakala di Alor Setar sahaja, lebih 95 peratus merupakan Tanah Rizab Melayu.

“Saya ada beberapa cadangan, tapi saya serahkan kepada kerajaan negeri untuk buat pertimbangan sewajarnya. Saya tak nak buat cadangan awal sebab kerajaan negeri mungkin ada cadangan penyelesaian lain yang lebih baik.

“Apa yang penting masalah ini harus diselesaikan sebelum ia menjadi lebih teruk. Saya juga dah maklumkan perkara ini kepada Pejabat MB Kedah,"  katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kerajaan negeri tidak boleh mencampuri kes yang sedang melalui prosedur di mahkamah, namun akan memberikan komitmen berkaitan masalah dibangkitkan.

Beliau berkata, isu melibatkan  penangguhan pendaftaran gadaian bagi Tanah Rizab Melayu itu masih dalam proses mahkamah, dan tidak wajar diulas.

“Saya tidak boleh mengganggu proses ini. Bagaimana pun, kerajaan negeri akan memberi komitmen  berkenaan isu ini mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Difahamkan, semua Pejabat Tanah Daerah di Kedah diarahkan untuk menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian atas Tanah Rizab Melayu kepada institusi kewangan yang tidak disenaraikan bawah Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Md Zuki Siru itu turut menyebut bahawa arahan itu berkuat kuasa serta merta sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Sumber: Sinar Harian