Tanah Rizab Melayu: Saran Kedah Pinda Enakmen Demi Rakyat - Peguam


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah disaran supaya mencari jalan penyelesaian segera terhadap isu Tanah Rizab Melayu di negeri ini bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif terhadap orang Melayu pada masa akan datang.

Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan, dikhuatiri ia akan menyebabkan ramai orang Melayu gagal memiliki tanah dan rumah ekoran tidak mendapat pembiayaan dari institusi kewangan.

"Bagaimana orang Melayu nak beli rumah atau tanah jika bank dihalang dari membiayai pinjaman? Hanya orang Melayu yang memilik wang tunai saja yang mampu beli tanah rizab Melayu atau rumah yang ada di atas tanah berstatus rizab Melayu?

"Saya yakin, seorang peguam pun perlu kumpul wang berpuluh tahun untuk membeli rumah atau sebidang tanah rizab Melayu jika isu tanah rizab Melayu ini tidak diselesaikan," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Pejabat Tanah Daerah di Kedah difahamkan telah diarahkan untuk menangguhkan pendaftaran semua urusan gadaian atas Tanah Rizab Melayu kepada institusi kewangan yang tidak disenaraikan bawah Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Kedah, Datuk Md Zuki Siru itu turut menyebut bahawa arahan itu berkuat kuasa serta merta sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar itu menjelaskan bahawa hanya Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) sahaja kini yang dibenarkan untuk membiayai pinjaman membeli rumah atau tanah melibatkan tanah rizab Melayu di Kedah, manakala bank-bank kormesil lain disekat dari membiayai pinjaman berkenaan.

"LPPSA hanya untuk penjawat awam saja dan tidak semua orang Melayu kerja di sektor awam. Jadi bagaimana rakyat Kedah yang bukan penjawat awam nak beli rumah dan tanah rizab Melayu?," soal beliau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedia memberi komitmen berkaitan masalah yang kini sedang dibicarakan mahkamah itu.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Johan Rizal berpandangan bahawa masalah tersebut sebenarnya boleh diselesaikan tanpa menunggu keputusan dari Mahkamah Persekutuan melalui pindaan Jadual Kedua, Enakmen Tanah Rizab Melayu sebagaimana yang diamalkan di negeri-negeri lain.

"Saya mencadangkan supaya mengubal enakmen Tanah Rizab Melayu itu dipinda oleh Kerajaan Negeri untuk membenarkan institusi kewangan dan perbankan yang tidak disytihar Melayu untuk menerima gadaian atas Tanah Rizab Melayu.

"Di negeri-negeri lain perkara tersebut telah diamalkan, termasuk dalam enakmen tanah rizab Melayu di Kelantan. Jadi saya yakin bahawa Kedah pun wajar mengamalkan kaedah yang sama," katanya lagi.

Selain itu, beliau yang juga merupakan seorang peguam turut menulis mengenai isu berkenaan di laman blog rasminya, Bila Shahabudin Berbicara, hari ini. - Kedahnews.com