Teksi Malaysia Dapat Pelepasan RRC S$6.40


SINGAPURA - Berita baik bagi pemandu teksi Malaysia apabila mereka mendapat pelepasan daripada membayar Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) yang dikuatkuasakan oleh Singapura pada 15 Februari.

"RRC tidak terpakai bagi teksi asing yang berdaftar di luar negara," kata jurucakap Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA), dipetik sebagai berkata oleh TODAYonline.com pada Khamis.

Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada pertanyaan daripada portal itu berikutan kegusaran pemandu teksi yang berpangkalan di Johor bahawa mereka akan dikenakan bayaran RRC S$6.40 apabila mereka memasuki Singapura.

Pada Khamis, akhbar Malaysia melaporkan pemandu teksi di Johor Bahru mahu Singapura memberi pelepasan kepada mereka daripada membayar RRC yang baru diperkenalkan, yang akan dikuatkuasakan pada bulan depan.

Laporan itu berkata jika dilaksanakan RRC, yang menyerupai Caj Jalan Raya Malaysia (RC), mereka harus dikecualikan, sama seperti pemandu teksi Singapura tidak tertakluk kepada kadar RC.

Memetik Pengerusi Terminal Teksi Johor Bahru-Singapura, Muhamad Najib Abdul Rahman, laporan itu berkata pemandu teksi bimbang berhubung perkara itu kerana Singapura tidak menyatakan apa-apa mengenai pengecualian mereka daripada membayar RRC.

"Kami berharap memandangkan Malaysia memberi pelepasan kepada pemandu teksi Singapura daripada membayar RC, jadi republik itu akan memberi layanan sama terhadap kami," katanya.

Beliau berkata 195 teksi Johor yang membawa penumpang ke Singapura melalui Tambak Johor akan terjejas dengan bayaran RRC, melainkan dikecualikan.

Pada 16 Januari, LTA mengumumkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC S$6.49 setiap kali memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Feb 2017.

LTA berkata langkah itu adalah sebagai timbal balas RRC terhadap RC Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap semua kereta asing yang memasuki Johor mulai 1 November 2016.

Sumber: mStar