Terlalu Murah, Tender Tebang Jati Di Perlis Dibuka Bagi Kali Ketiga – Exco


KANGAR – Tawaran tender untuk menebang 2,000 pokok jati di negeri ini dibuka untuk kali ketiga susulan tawaran tender yang diterima sebelum ini adalah terlalu murah, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Beliau berkata tender yang akan dibuka bulan depan ditujukan juga kepada pihak luar dari Perlis.

“Sebelum ini tender dikhususkan untuk syarikat yang didaftar di Perlis sahaja. Tender kali pertama pada 2015 menerima bidaan tertinggi iaitu sebanyak RM180,000, namun ia adalah terlalu rendah dan kerajaan negeri terpaksa membatalkannya.

“Tender kali kedua pula dikeluarkan tahun lepas dan dibida sebuah syarikat sebanyak RM700,000. Namun sehingga bulan Jun tahun tersebut, pembidanya gagal membayar jumlah berkenaan walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali,” katanya kepada Bernama.

Mat Rawi berkata pokok jati berusia lebih 10 tahun di kiri dan kanan jalan di Jalan Padang Siding, Pauh dan Jalan Santan, Kangar adalah bernilai tinggi namun ia perlu ditebang kerana boleh membahayakan pengguna jalan raya yang melalui jalan itu.

Beliau menjelaskan kontraktor atau pembida yang berjaya memperoleh tawaran selain perlu membayar jumlah penuh bidaan mereka, juga perlu mematuhi beberapa syarat tebangan antaranya memastikan keselamatan pengguna jalan raya semasa pokok ditebang dan dan membersihkan dahan dan ranting kayu yang tumbang.

Borang tender boleh diperoleh di Jabatan Perhutan Perlis. – BERNAMA