SEMENJAK menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua, rezeki penyanyi Siti Nordiana nampaknya semakin bertambah apabila menerima banyak tawaran dalam kerjaya seninya.
Dek kerana itu, Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana menjadi terlalu sibuk hingga menyebabkan dia jarang bertemu dengan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, 9.
Sehinggakan persiapan persekolahan anaknya juga terpaksa dibantu oleh abangnya.
Menurut Nana, dia hanya dapat berjumpa dengan Rayyan beberapa kali dalam sebulan.
“Saya memang rindukan Rayyan dan syukur saya sudah terangkan kepadanya mengenai jadual kerja saya. Rayyan faham ibunya bekerja untuk menampung kami berdua, yang membuatkan saya lebih terharu.
“Saya bangga dengan Rayyan dan dia anak yang tidak banyak kerenah. Dia tahu saya keluar mencari rezeki dan saya adalah segala-galanya untuk dia, begitu dia pada saya sejak (bekas) suami meninggal dunia.
“Apabila saya sibuk, saya akan terangkan kepada dia apa yang saya lakukan dan dia faham. Kalau dia cuti, memang saya akan bawa dirinya bersama-sama ke mana saya pergi,” katanya kepada BH Online.
Meskipun sibuk dan tidak berkesempatan bertemu dengan anaknya, Nana memberitahu, dia tetap menghubungi dan membuat panggilan video dengan Rayyan.
Dalam perkembangan lain, Nana sedang merancang untuk menghasilkan album solonya.
Rayyan merupakan anak tunggal Nana bersama arwah pelakon Faizal Yusof. – Kedahnews.com