Tewaskan BN Tanpa PAS Ibarat "Mimpi Di Siang Hari" - Penganalisis

Md Shukri Shuib (kanan)
SHAH ALAM - Penganalisis Politik, Md Shukri Shuib menyifatkan kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang mendakwa Pakatan Harapan mampu tumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang walaupun tanpa Pas sebagai ‘bermimpi di siang hari’.

Menurutnya, mungkin pada realitinya DAP di bawah Pakatan Harapan memang mendapat sokongan majoriti di bahagian bandar namun tidak di kawasan luar bandar.

“Di kawasan campuran dan luar bandar, parti tersebut memerlukan sokongan Pas untuk menang lebih-lebih lagi dengan 25 peratus undian penyokongnya.

“Oleh itu, jika tiada Pas di dalam Pakatan Harapan sebelum ini, pastinya parti itu sukar untuk pihak pembangkang memenangi kerusi,” katanya.

Sebelum ini, Khalid dilaporkan berkata kepada media tempatan bahawa Pakatan Harapan mampu menewaskan BN pada PRU14 walau tanpa Pas memandangkan Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu membawa undi yang mencukupi untuk mengalahkan BN.

Selain itu, beliau juga mendakwa bahawa perpecahan pemimpin Melayu merupakan sebab utama perpecahan undi.

“Dalam konteks kini menyaksikan survival untuk memilih sebuah kerajaan yang kukuh pada PRU14 nanti maka perpecahan pemimpin sendiri menjadi sebab utama perpecahan undi di kalangan orang melayu.

“Disebabkan itulah orang Melayu sendiri harus bijak membuat pilihan supaya tidak memilih pemimpin yang tidak mesra Melayu dan akhirnya diri sendiri yang rugi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau juga turut menyatakan bahawa BN boleh menggunakan situasi ini untuk mengukuhkan lagi parti mereka.

“Gunakan peluang yang ada ini untuk mengukuhkan parti untuk memenangi PRU14 nanti, lebih-lebih lagi dengan pelbagai isu yang timbul di antara parti pembangkang,” katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian