WASHINGTON DC – Sejurus mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump, memecat semua dutanya di luar negara dan tiada senarai pengganti disediakan.
Trump mengarahkan semua dutanya di seluruh dunia, yang dilantik oleh bekas presiden Barack Obama, segera meninggalkan pejabat menjelang tengah hari tanpa memberikan tempoh penangguhan.
Pasukan peralihan Trump dilaporkan berkata pada 23 Disember lalu, ‘tiada lagi pengecualian’ bagi duta untuk meminta perkhidmatan dilanjutkan berbanding apa yang dilaksanakan presiden sebelum ini.
Arahan secara dramatik itu juga tertakluk kepada duta yang mempunyai keluarga dan anak kecil.
Bagaimanapun, kebiasaannya duta yang dilantik secara politik akan meletak jawatan pada permulaan pentadbiran baharu tetapi isu kekosongan jawatan duta tanpa senarai pengganti adalah perkara baharu pertama kali berlaku.
Seramai 80 duta dilantik ke sesebuah negara, agensi dan isu seperti duta bagi isu wanita global, dipecat.
Tindakan itu menyebabkan AS tidak mempunyai wakil yang disahkan Senat selama beberapa bulan, selain tiada hubungan terus dengan Trump, termasuk di negara yang mempunyai hubungan sensitif dengan AS.
Antaranya ialah Jerman, Britain dan Kanada, selain sekutu penting lain seperti China, India, Jepun dan Arab Saudi.
Proses bagi penggantian duta lantikan politik oleh Kongres akan mengambil tempoh yang panjang.
Beberapa pelantikan sudah dibuat setakat ini dengan Gabenor Carolina Selatan, Nikki Hayley sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa Bersatu menggantikan Samantha Power.
Peguam yang diisytiharkan muflis, David Friedman, dilantik sebagai Duta AS ke Israel dan Gabenor Iowa, Terry Branstad pula menjadi wakil Trump di China.
Bekas isteri Trump, Ivana, dilaporkan meluahkan minat menjadi duta ke negara asalnya, Republik Czech.
Hasrat tersebut disokong presiden negara itu, Milos Zeman, yang dilaporkan berkata: “Tiada siapa yang lebih baik untuk menjadi duta AS ke Prague”. – AGENSI